Pergeseran Anwar - Azmin bolah musnahkan PH - Ku Li

Kow Gah Chie

Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata pergeseran antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) berpecah.

"Ia mungkin. Tetapi bergantung sama ada Anwar atau Azmin memiliki sokongan (yang cukup).

"Berdasarkan apa yang kita baca di media sosial, seperti ada perpecahan dalam parti. Mari berharap kestabilan akan kekal," katanya yang juga anggota parlimen Gua Musang.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak tahu sama ada pembangkang akan menang dalam PRU akan datang.

"Tetapi jika kita ada bilangan (kerusi parlimen yang cukup), mengapa tidak?" katanya.

Beliau yakin Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi PH tahu ke mana hala tuju gabungan itu pada masa ini.

Terdahulu, sejumlah 27 pemimpin dan anggota parlimen PKR menyatakan sokongan kepada Azmin dan berkata Anwar selaku presiden perlu segera menyatupadukan parti.

Tengku Razaleigh berkata terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan sama ada seseorang pemimpin itu memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

"Anda boleh kata ada sokongan tetapi terpulang kepada Agong untuk menentukan sama ada seseorang itu ada majoriti atau tidak," katanya.

Dalam respons segeranya, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin setuju bahawa pergeseran antara Anwar dan Azmin tidak baik untuk PH.

"Saya tak mahu beri nasihat kerana mereka kawan dan saudara saya dalam PH.

"Tentulah kita sentiasa mendoakan ini akan berakhir tak lama lagi. Isu ini tidak baik untuk kita, bukan saja untuk PH tetapi untuk kerajaan dan rakyat Malaysia," katanya yang juga timbalan presiden PH.

Beliau bagaimanapun tidak setuju bahawa PH akan musnah jika pergeseran itu berterusan.

"Saya tidak terlalu pesimis dalam perkara ini. Harapnya ia akan reda," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

"Saya tak tahu nak kata apa lagi, hanya (boleh) doa," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan