Prestasi cemerlang PH akan menyukarkan gabungan Pas-Umno

MOHD ALI HASHIM
Melihat kepada cara rakyat menilai dan memilih dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu memberi prestasi yang cemerlang pada penggal sulung ini, tidak dapat dinafikan gabungan baru Umno-Pas sukar untuk menggugat momentum PH.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria (gambar atas).

Katanya lagi, jika dilihat secara retro sebelum PRU ke-14 lagi, PH dianggap agak rapuh kerana dua parti gabungannya ketika itu, AMANAH dan Bersatu amat baharu dan kekuatan jentera pilihan rayanya pada pandangan umum ‘sangat lemah’.

Tegasnya, terdapat di peringkat Parlimen, AMANAH maupun Bersatu hanya mempunyai kekuatan yang terhad, tetapi tetap mampu meraih sokongan rakyat dalam PRU yang lalu.

“Secara langsung ini memperlihatkan rakyat menilai parti politik dari pelbagai aspek, bukan hanya kepada kekuatan parti semata-mata.

“Sekiranya rakyat menilai dari sudut kekuatan parti, maka adalah mustahil parti-parti PH boleh menang.

“Sebagai contoh, kerusi Parlimen Permatang Pauh merupakan satu kawasan yang tidak begitu besar, tetapi mempunyai hampir 100 cawangan Umno, tetapi mereka tetap gagal merampas kerusi parlimen tersebut,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penilaian rakyat tatkala itu banyak dibantu oleh media sosial yang begitu terbuka, seolah-olah tiada sempadan.

Walau bagaimanapun ujarnya, apa jua alasan kekalahan Umno-BN dalam PRU ke-14 yang lalu, semuanya adalah berpusat kepada hilangnya keyakinan rakyat kepada kerajaan ketika itu, iaitu Umno-BN yang menerajui pentadbiran khususnya melibatkan ketirisan wang negara yang berskala besar.

Manakala kehidupan majoriti rakyat marhaen ketika itu pula katanya, masih susah dan berkesempitan yang teramat sangat.

“Kerajaan PH kemudiannya telah berjaya menjayakan konsep negara berkebajikan, dari rakyat untuk rakyat serta merangkumi pelbagai aspek kehidupan rakyat.

“Ia juga telah berjaya meringankan beban dan kos sara hidup, pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat dan menyukarkan gabungan Umno-Pas untuk menggugat kekuatan sedia ada.

“Bagaimana PH mengisi kemenangan PRU ke-14 menjadi faktor utama menentukan kedudukan PH menjelang PRU ke-15 yang akan datang walaupun adanya gabungan Umno-Pas yang telah dimeterai,” kata beliau.

Dr Zaidi juga berkata, melihat kepada gabungan Umno-Pas, rakyat belum yakin dengan gabungan ini sama ada ia benar-benar kukuh memandangkan falsafah, fikrah, kefahaman budaya dan ideologi politik kedua-duanya amat berbeza.

“Realitinya pertembungan perbezaan ini begitu besar yang bukan terlalu mudah boleh diselesaikan atas alasan ‘Kita Melayu-Islam’.

“Umno terutamanya belum lagi mampu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya setelah pemimpin tertingginya diheret seorang demi seorang ke muka pengadilan.

“Di peringkat akar umbi pula, Umno dan Pas tidak begitu mudah untuk ahli-ahli mereka menerima ‘musuh tradisi’ yang berabad-abad lamanya,” tambah beliau.

Namun begitu tegasnya, Umno dan Pas masih mempunyai antara empat hingga lima tahun bagi meyakinkan ahli-ahli parti mereka dan rakyat bahawa mereka mampu untuk duduk bersama.

Secara jujurnya kata beliau, PH tidak boleh mengambil mudah dan memandang enteng ancaman gabungan Umno-Pas tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan