Mujahid Yusof
ULASAN | 'Wedding of the Year' memang patut diberi kepada PAS dan Umno kerana ia disaksikan beribu orang yang hadir dengan semangat berkobar-kobar tentang sebuah muafakat nasional.
Hasil piagam yang menyusuli penyatuan ummah dan perhimpunan bela Islam akhirnya tenggelam dengan sifatnya yang nasional. Hanya laungan takbir mengiringi lagu Umno.
Tampaknya Umno mendominasi keadaan, seolah PAS hanya menjadi tetamu terhormat untuk meramaikan majlis. Apakah PAS tidak terfikir untuk mencadangkan agar majlis diadakan di tempat yang lebih neutral, sesuai dengan nama Muafakat Nasional dan sesuai dengan majlis gabungan dua parti Melayu terbesar?
Butiran piagam itu pula tidak segah nama Muafakat Nasional kerana ia hanyalah memperbaharui tekad kepada persetujuan kita semua tentang Islam, Melayu, kepelbagaian dan institusi diraja. Malah sebahagian besar yang dibutirkan dalam piagam itu adalah cerminan kepada kegagalan Umno untuk memeliharanya dengan amanah sebelum ini.
Umno gagal menjaga kepentingan Melayu dengan salah guna kuasa dalam skandal Tabung Haji, Felda, Mara. Semua ini adalah institusi orang Melayu dan Islam. Apakah Umno telah insaf atau ia hanya gimik memancing PAS? Nampaknya sudah beberapa kali PAS jatuh ke lubang biawak.
Malah kini memikul 'biawak hidup' seperti yang pernah dikatakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang satu ketika dahulu.
Umno tidak memelihara pembangunan yang inklusif dengan berlakunya skandal kleptokrasi terbesar dunia yang menjejaskan kepentingan fiskal negara. Sejumlah pemimpin tertinggi Umno dalam senarai pendakwaan atas tuduhan salah guna kuasa.
Hanya ada satu muafakat nasional
Nampak jelas bahawa bebanan piagam ini adalah ke atas pengikut dan ahli PAS, tetapi tidak kepada ahli Umno yang mendapat kelebihan dengan piagam ini.
Membela Islam bagi PAS pula tersudut kepada aspek melaksanakan hudud dan menghukum mereka yang tidak sehaluan dengan dasar Islam mereka, melalui Amanat Haji Hadi termasuk Umno yang dikatakan mempertahankan perlembagaan Taghut.
Bagaimana Islam nak terbela bersama PAS jika parti itu mendakwa hanya mereka saja mewakili Islam dan 'mengkafirkan' orang lain dan 'mengharbikan' orang kafir. DAP yang mendapat sokongan pengundi Cina dilabel anti-Islam, tetapi kini dalam piagam berkenaan PAS bersetuju untuk memelihara kepelbagaian kaum dan agama?
Apa yang muafakatnya jikalau formula Umno-PAS ini hanya akan menjejaskan kepentingan nasional? Parti Melayu iaitu Umno gagal memelihara kepentingan nasional dan berselimut di balik retorik kaum manakala PAS yang membawa label Islam yang kasar dan keras tidak mungkin memahami erti kepelbagaian.
Piagam ini adalah formula yang tepat kepada potensi 'jerebu' yang berisiko membawa mudarat lebih teruk daripada jerebu hakiki. Malaysia baru sahaja menikmati udara segar dengan angin perubahan yang mendambakan kemakmuran bersama. Itulah Muafakat Nasional yang sebenarnya.
Dalam artikel yang saya tulis semasa membuat analisa pra-piagam, saya telah menyebut perkataan 'permuafakatan nasional' dengan munculnya era Malaysia Baru yang mendorong lahirnya kerajaan yang diamanahkan kepada Pakatan Harapan (PH).
Malaysia hanya memerlukan satu sahaja muafakat nasional yang disepakati rakyat, bukan muafakat nasional syok sendiri yang direka oleh gabungan ini. Muafakat nasional adalah rumusan kepada agenda baru, cara berfikir baru dan strategi baru hasil kekecewaan rakyat kepada regim sebelumnya. Bukankah Umno dan PAS yang menjadi sasaran kekecewaan itu sehingga lahir harapan baru untuk Malaysia?
Rekod PAS sebelum ini
Seperti mana-mana wedding of the year, kehebatannya adalah kepada gaya persembahan dan tumpuan orang ramai kepadanya.
Ramai penganalisis berpendapat, ia taktik survival dan berpiagam dengan PAS selalunya sukar untuk bertahan kerana fatwanya berubah-ubah. Dari tahaluf ke ta'awun dan kini piagam. Entah esok apa pula.
Sebaiknya untuk Umno ialah mengambil masa bertafakur, mencari sebab mengapa rakyat menolaknya dan jujur pada diri untuk membetulkan kesilapan lampau.
Saya tidak mahu campur tangan urusan PAS kerana parti itu sukar diramal, hanya kadar kepantasan perubahan 'fatwa'nya sahaja yang menjadi tali hayat Umno dalam piagam ini.
Rekod PAS dalam tahaluf siyasi dengan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) tidak berapa baik dalam memenuhi erti persahabatan politik. Mungkin PAS akan memperbaiki rekodnya dalam konsep ta'awun dengan Umno.
'Penyatuan' dua parti tersebut langsung tidak memberi sebarang jaminan serta nilai tambah kepada usaha membentuk masa depan negara yang lebih mapan.
Nama muafakat nasional terlalu besar untuk dipakai oleh piagam ini kerana butirannya adalah asas yang hanya mengulangi komitmen yang sudah pun diterima pakai oleh semua pihak tanpa pertikaian.
Usaha untuk memenuhinya sebenarnya kini diusahakan oleh PH dengan merintis jalan menyelamatkan negara daripada kegagalan BN sebelum ini.
Dalam melihat piagam yang termeterai semalam, teringat saya serangkap lirik lagu Ramalan ku Benar Belaka nyanyian Umbrella.
Kau memilih diriku,
Di atas dasar apa,
Apakah kerna cinta,
Atau pelepas sepi cuma.
Kita tunggu...
DR MUJAHID YUSOF ialah naib presiden Amanah merangkap ahli parlimen Parit Buntar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan