Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang bekas pengarah Jabatan Kastam negeri dan dua pengarah syarikat swasta semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, ia sebahagian daripada tindakan agensi itu menangani rasuah berkaitan penyeludupan serta pembalakan dan perlombongan haram.
"Bekas pengarah negeri itu ditahan di pejabat SPRM Kelantan manakala dua suspek (pengarah syarikat swasta) ditahan di sebuah hotel di Genting Highlands.
"Wang tunai dengan jumlah yang besar turut dirampas ketika penahanan," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, mahkamah majistret Kota Bharu membenarkan permohonan perintah reman selama lima hari terhadap ketiga-tiga suspek pagi ini.
"SPRM juga membeku akaun suspek, individu lain serta entiti berkaitan. Secara keseluruhan, akaun 20 individu dan empat entiti telah dibekukan," katanya lagi.
Pada 27 September lalu, Latheefa berkata rasuah dalam pembalakan dan perlombongan haram - yang membabitkan alam sekitar dan kepentingan awam - kini menjadi keutamaan SPRM
Menurut Berita Harian, Latheefa berkata SPRM sedang menyusun strategi dengan kaedah yang lebih canggih untuk membanteras masalah itu memandangkan pihak yang terlibat "sudah mengetahui sistem yang ada".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan