Kerajaan Kelantan macam Pak Pandir - Husam

N Faizal Ghazali
Senator Husam Musa menyifatkan ancaman PAS bahawa kerajaan Kelantan akan mengambil tindakan saman semula terhadap Petronas berhubung bayaran royalti ke negeri sebagai 'pak pandir'.

Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan berkata, sepatutnya perlu ada terma penyelesaian apabila kerajaan negeri menarik balik samannya yang awal.

"Bila kerajaan Kelantan tak ada terma penyelesaian tarik macam itu saja, jadi tak ada forum (hujah) untuk kemukakan masalah yang berbangkit seperti telaga-telaga yang dipertikaikan itu.

"Patut lantik satu jawatankuasa untuk berunding sebelum kita tarik saman," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Koperasi Padi Wangi negeri Kelantan di Pasir Puteh, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Kelantan mengancam untuk mengemukakan saman baru ke atas Petronas sekiranya tuntutan terhadap royalti minyak tidak diberi seperti dijanjikan.

Anggota Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan, berkata selepas saman itu ditarik balik, pembayaran royalti seperti yang termaktub dalam perjanjian sepatutnya diteruskan.

Yakin dengan pendirian berkenaan, setiausaha agung PAS itu berkata, Kelantan bersedia mendedahkan surat-surat yang diutus kepada kerajaan persekutuan berhubung isu itu.

"(Sebelum ini) Kelantan tarik balik (saman) atas jaminan kerajaan pusat akan bayar (royalti minyak). Tapi kalau royalti tak dibayar seperti dijanjikan, kerajaan negeri mempunyai hak untuk saman semula.

“Maksud saya, (kalau) nak saman, boleh, sebab ia masih berterusan untuk 2019 sehingga 2020," katanya.

Sementara itu Husam berkata, walaupun beliau bukan pakar perundangan tindakan Kelantan mahu memfailkan saman semula tidak boleh dilakukan.

"Saya bukan pakar perundangan tetapi saya rasa dalam undang-undang bila kita tarik saman kemudian nak fail balik saman kes yang sama, saya rasa jadi macam Pak Pandirlah, tak bolehlah," katanya.

'Tak perlu gaduh macam budak kecil'

Terdahulu beliau yang juga naib presiden Amanah menjelaskan bayaran RM28 juta oleh kerajaan pusat kepada Kelantan adalah bayaran tunai hasil pengeluaran petroleum berasaskan peruntukan lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian antara Kelantan dan Petronas pada 1975.

Ditanya mengenai anggaran bayaran hasil itu, Husam berkata, berdasarkan kajian yang dibuatnya sebelum ini, Kelantan berhak mendapat RM103 juta setahun.

"Saya tak ada maklumat jumlah bayaran (sepatutnya). Perkara ini boleh dibangkitkan oleh kerajaan negeri. Mereka boleh tulis surat pada kerajaan persekutuan dan minta penjelasan ini duit daripada pengeluaran, apa kuantum pengeluaran, itu cara yang profesional.

"Tak perlu bergaduh macam budak kecil berebut gula-gula. Jumlah yang kita ada hanya anggaran sebelum ini. RM1 bilion itu berdasarkan anggaran kita (termasuk yang tertunggak).

"Bagi telaga (Medan Camelia) tertakluk pada pengeluaran sebenar daripada data-data diperolehi dari pelbagai sumber, Kelantan patut dapat RM103 juta setahun (anggaran).

"Jadi kita nak tengok yang Upen (uni perancangan ekonomi negeri) kata mereka ada data. Kalau ambil data saya, patut berterima kasihlah," katanya merujuk buku Royalti Amanah Dikhianati yang ditulis sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Husam juga menyarankan supaya mana-mana pihak untuk menganjurkan debat berhubung isu tersebut yang masih menjadi pertikaian oleh PAS.

"Kita buat debatlah. Satu debat boleh diadakan oleh mana-mana universiti ke, Upen ke antara pihak-pihak (yang pertikai).

"Saya boleh hantar anak buah dulu, kalau dia kalah baru saya masuk," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan