Tony Pua akan dapat ganti rugi dalam kes saman Najib

Bernama
Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee akan mendapat ganti rugi berhubung injunksi dalam kes saman yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya berhubung klip video mengenai pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuiasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, mengetepikan injunksi yang diperoleh Najib dalam kes samannya dan memutuskan bahawa Pua, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berhak menerima ganti rugi.

Beliau memerintahkan jumlah ganti rugi itu dinilai oleh Mahkamah Tinggi selepas mengetepikan injunksi tersebut.

Hakim Dr Hamid Sultan yang bersidang bersama Hakim Datuk Hanipah Farikullah dan Hakim Datuk Lau Bee Lan bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membolehkan Najib menarik balik samannya terhadap Pua.

“Ini adalah kes yang paling sesuai dan wajar untuk mahkamah membenarkan rayuan secara sebahagian. Pihak-pihak berkaitan perlu kembali ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi,” katanya.

Mahkamah juga memerintahkan bekas perdana menteri untuk membayar kos RM10,000 kepada Pua.

Pua merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Julai 2018 yang membenarkan Najib menarik balik saman terhadapnya walaupun Pua membantah.

Najib atas kapasiti peribadinya, menyaman Pua kerana mendakwa membuat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam video siaran langsung berdurasi dua minit dan 21 saat yang dimuat naik oleh Pua dalam laman Facebook rasminya.

Peguam Surendra Ananth mewakili Pua sementara Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib.
–BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan