Nicholas Chung
PETALING JAYA: Dua penganalisis politik mengaitkan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai disebabkan pertelagahan berterusan dalam kalangan parti gabungan itu, sambil menambah “undi protes” menyumbang kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN).
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dan Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata penyebab utama konflik itu adalah pertikaian mengenai pengganti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan peralihan kuasa.
Azman menyeru Mahathir menyatakan rancangan penggantian yang jelas sebelum menyerahkan jawatannya kepada presiden PKR Anwar Ibrahim, mengatakan isu itu menjadi sebab utama konflik dalaman PH.
Beliau memberitahu FMT, Mahathir yang seolah-olah tidak mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan akar umbi DAP dan PKR terhadap pengerusi PPBM itu.
“Sudah tiba masanya Mahathir mengumumkan penyerahan kuasa dengan lebih khusus supaya rakyat lebih bersedia. Melambatkan tarikh penyerahan kuasa akan menyebabkan keraguan timbul dalam kalangan rakyat serta dalam kalangan penyokong PH,” kata Azman.
Beliau berkata terdapat persepsi dalam kalangan pengundi Cina bahawa PPBM cuba mengawal PH walaupun kerusi parti itu tidak banyak dalam gabungan tersebut, manakala pengundi Melayu berhati-hati terhadap DAP yang semakin banyak memegang pentadbiran kerajaan yang boleh menyebabkan mereka terpinggir.
Azman berkata kemenangan BN menunjukkan muafakat nasional antara Umno dan PAS tidak mengasingkan orang bukan Melayu, sambil menambah ia akan membimbangkan kepimpinan tertinggi PH.
Bagaimanapun, dinamik politik Malaysia sentiasa berubah dengan masa dan pelbagai situasi.
“Orang Cina tahu kemenangan PRK ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri sementara Putrajaya akan kekal di bawah PH. Ini adalah referendum mini orang Cina kepada PH mengenai banyak isu yang mereka tidak puas hati.
“Untuk mengatakan sokongan rakyat beralih kepada pembangkang tidak benar sepenuhnya kerana ia hanya PRK. Tetapi ini adalah amaran awal dan ‘amaran merah’ kepada PH dan perdana menteri untuk melakukan yang lebih baik.”
Azmi memberitahu FMT bahawa PH kehilangan kira-kira 7,000 undi dalam “protes” pengundi. Bilangan undi untuk Wee Jeck Seng hampir sama dengan jumlah yang diperoleh BN dan PAS pada pilihan raya umum tahun lepas.
“Ini dapat dijelaskan oleh jumlah pengundi hanya 73% berbanding 86% pengundi pada tahun lepas. Sebanyak 13% pengundi luar mewakili 7,000 pengundi tambahan, di mana PH kehilangan sebahagian besar sokongan mereka.
“Jika PH tidak membetulkan atau menghentikan perbalahan yang berlaku dalam pandangan umum, maka saya meramalkan kerajaan PH akan menghadapi kemarahan rakyat – dengan atau tanpa pilihan raya kecil.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan