PRK Tg Piai: Kaji selidik IDE salah lagi, kata penganalisis

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik mempersendakan kaji selidik sebuah badan pemikir dikaitkan dengan PKR, Institut Darul Ehsan (IDE) yang jauh meleset bagi Pilihan Raya Kecil Semenyih dan Tanjung Piai.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, dua kaji selidik IDE menyatakan Pakatan Harapan mendahului Barisan Nasional dengan 9% sokongan dalam PRK Semenyih dan Tanjung Piai, tetapi hakikatnya BN muncul sebagai pemenang.

Katanya, kaji selidik IDE pada 9 hingga 11 November lalu menunjukkan PH dapat mengalahkan BN di Tanjung Piai, namun sebaliknya berlaku apabila gabungan parti pemerintah itu kalah dengan majoriti 15,086 undi.

“Menggunakan sampel 1,200 pengundi, kaji selidik IDE pada 9-11 November 2019 menunjukkan PH mengatasi BN dengan 9%, bila PH mendapat 53% sokongan berbanding 44% sokongan untuk BN dalam PRK Tanjung Piai,” tulisnya di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata, menggunakan sampel 1,142 pengundi, kaji selidik IDE pada 31 Januari hingga 1 Februari lalu menunjukkan PH mendapat 46% sokongan berbanding 37% sokongan bagi BN pada PRK Semenyih.

“Malangnya, pada akhirnya BN yang muncul sebagai pemenang dalam PRK Semenyih dengan majoriti 1,914 undi

“Agaknya apa yang tidak kena dengan kaji selidik IDE ya?” soalnya.

Semalam, IDE dilaporkan berkata, PH mendahului BN lebih sembilan mata dalam PRK Tanjung Piai pada Mac lalu.

Berdasarkan kajian responden, 53% daripada 1,200 responden menyatakan mereka akan mengundi calon PH, Karmaine Sardine, manakala 44% lagi memilih calon BN, Wee Jeck Seng.

Kajian IDE tersebut turut menunjukkan baki 3% akan mengundi calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Badhrulhisham Abdul Aziz, calon Gerakan, Wendy Subramaniam dan dua calon bebas, iaitu Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Tetapi, keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan Wee menang dengan 25,466 undi, menewaskan Karmaine yang memperoleh 10,380 undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan