Rahmatan li al-Kafirin

Wan Ji Wan Hussin
Sepertimana yang kita tahu, Amanah membawa slogan Rahmatan lil Alamin. Ia bukan sekadar slogan, malah sememangnya Amanah cuba laksanakan dalam peringkat pentadbiran negara. Sudah berbagai kempen dilakukan. Tidak kurang juga melalui penerangan melalui TV al-Hijrah bawah kelolaan salah seorang pemimpin tertinggi mereka, Dr Mujahid Yusof yang juga menteri agama di bahagian Jabatan Perdana Menteri.

Sama ada berkesan atau tidak, itu bukan tajuk perbincangan dalam tulisan ini. Apa yang mahu dibangkitkan adalah, hasrat baik di sebalik slogan ini diremehkan oleh musuh parti mereka. Antara bentuk remehan itu, diungkapkan “Rahmatan Li al-Kafirin”.

Propaganda PAS

Sejak penubuhan Amanah, PAS yang merupakan musuh ketat telah membuat satu propaganda besar dengan menuduh bahawa penubuhan Amanah dibiayai DAP. Walaupun dalam DAP terdapat juga ahli dari kalangan Melayu-Muslim, tetapi persepsi yang dipamerkan oleh PAS (demikian juga Umno), kononnya DAP adalah parti Cina dan “kafir”.

Dengan propaganda itu, Amanah diratib sebagai tunduk kepada kafir. Kesannya, sebarang sifat rahmat yang cuba ditampilkan oleh pemimpin Amanah, pasti akan dituduh sebagai “macai DAP”, “khadam DAP” dan yang paling dahsyat, mereka menuduh bahawa Amanah bukan membawa slogan Rahmatan Lil ‘Alamin (Rahmat sekelian Alam), tetapi membawa slogan rahmatan li al-Kafirin (Rahmat kepada orang kafir).

Tuduhan itu, seakan-akan tidak ada sifat rahmat yang perlu dilakukan terhadap masyarakat bukan Muslim. Sifat rahmat hanya berlaku sesama Muslim sahaja. Terhadap Muslim pun, bukan semua Muslim perlu dihadapi dengan rahmat. Malah, terhadap Muslim yang cenderung bersifat rahmat terhadap bukan Muslim pun, mereka seakan-akan beranggapan tidak boleh dihadapi dengan rahmat.

Secara tidak langsung, ia lebih cenderung kepada pendekatan Wahabisme memperkenalkan satu konsep akidah dalam Islam yang dinamakan sebagai al-Wala’ wa al-Bara’.

Sifat rahmat

Dalam hadis, diceritakan bahawa di fasa Mekah bahawa para sahabat telah ditindas dan diseksa. Dengan itu, Nabi SAW berfikir untuk menyelamatkan sahabat yang ditindas itu dengan mereka berhijrah ke Taif. Sebelum itu, Nabi SAW bersama dengan Zaid bin Harisan yang terlebih dahulu ke Taif, untuk melihat bagaimana “respons” masyarakat di sana.

Di Taif, bukan sekadar dakwah Nabi SAW tidak diterima, malah Baginda SAW dibaling batu sehingga luka dan berdarah. Baginda terpaksa berundur. Ketika sampai di Wadi al-Nakhlah, suatu kawasan yang berhampiran dengan Mekah, diceritakan dalam hadis bahawa malaikat telah datang berjumpa dengan nabi – meminta izin untuk menghempapkan bukit kepada masyarakat Taif yang biadab. Dengan sifat rahmat, Nabi SAW melarang malaikat. Lalu, Baginda SAW berkata: “semoga keturunan mereka, menjadi manusia yang mentauhidkan Allah dan tidak mensyirikkan-Nya”.

Pendekatan ini adalah sifat rahmat terhadap orang bukan Muslim, walaupun yang memusuhi nabi. Mungkin sahaja ada pihak akan menggelarkannya sebagai “rahmatan li al-kafirin”. Bagaimanapun, tindakan nabi itu ternyata benar. Jika di era Nabi, Taif adalah tempat yang sukar melihat orang Islam. Tetapi kini, Taif antara tempat yang sukar dilihat orang yang tidak beragama Islam.

Itu yang pertama. Yang kedua, kita akan dengar satu hadis bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menzalimi bukan Muslim Mu’ahid, atau mengurangkan hak mereka, atau mengambil hak mereka bukan cara yang betul, atau membebankan kepada mereka luar dari kadar kemampuan mereka, aku (nabi) akan menjadi penghujah untuk bukan Muslim itu di akhirat kelak.”. (Sunan Abi Daud, hadis no : 3052)

Bagi mereka yang dangkal dalam pengajian ilmu hadis, pasti tidak akan ketemu hadis yang dinukilkan ini. Ia amat jelas bahawa Nabi SAW mengajar agar umat ini mengambil sikap damai merentasi kaum dan anutan agama.

Wahabisme

Bagi orang yang cenderung kepada fahaman Wahabisme, selain Muhammad bin Abdul Wahab yang merupakan pengasas fahaman tersebut, Syaikh Saleh bin Usaimin antara tokoh rujukan mereka yang pernah memfatwakan bahawa membenci orang bukan Islam adalah tuntutan akidah. Ia namakan sebagai akidah al-Wala’ wa al-Bara’.

Semasa mereka menerima fatwa begitu, mereka tidak sedar bahawa terdapat beberapa ayat al-Quran yang mempamerkan bahawa tidak menjadi kesalahan bahawa meletakkan perasaan kasih, cinta dan sayang terhadap bukan Muslim. Antara hujah-hujahnya adalah seperti berikut:

Pertama, dalam hadis Sahih Muslim, dinyatakan bahawa Abu Talib yang merupakan bapa saudara nabi – meninggal dunia dalam keadaan tidak memeluk agama Islam. Nabi SAW sedih dengan keadaan itu, menyebabkan Allah telah menurunkan firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) tidak dapat memberikan hidayah kepada siapa yang kamu sayang, tetapi Allah memberi hidayah kepada siapa yang Dia mahu.” (Surah al-Qasas 28:56)

Dalam ayat ini, secara jelas Allah menyatakan bahawa Nabi SAW sayangkan kepada Abu Talib, walaupun beliau tidak beriman. Jelas, bahawa sayangkan orang kafir bukan satu kesalahan dalam agama. Malah, ia berlaku pada diri Nabi SAW sendiri.

Kedua, dalam al-Quran juga ada menyatakan, andai seseorang anak memeluk Islam, lalu kedua ibu bapa menyeru agar dia kembali kepada kekufuran, maka anak tidak perlu taat, tetapi al-Quran tetap menyuruh agar anak melakukan tindakan kasih sayang kepada ibu bapa itu, seperti berurusan secara makruf dan baik. (Surah Luqman 31:15)

Ketiga, dalam al-Quran juga ada menyatakan keizinan berkahwin dengan perempuan ahli kitab (Surah al-Maidah 5:5), dan al-Quran juga ada menyatakan bahawa ahli kitab dikira sebagai bukan beragama Islam (al-Maidah 5:73). Al-Quran juga ada menjelaskan bahawa tujuan perkahwinan adalah cinta dan kasih sayang (Surah al-Rum 30:21).

Dengan ini jelas bahawa sayangkan orang bukan Islam bukan sesuatu yang salah dalam agama, malah ia dibenarkan oleh al-Quran. Dengan ini juga, dapat difahami bahawa pandangan Wahabisme menganggap benci kepada orang bukan Islam sebagai tuntutan akidah, bukan sekadar tidak tepat, malah tersasar dari pemahaman al-Quran.

Penutup

Kalimah “al-‘Alamin” bermakna alam itu, didefinisikan adalah segala makhluk yang dicipta oleh Allah. Dengan kata lain, setiap perkara yang bukan Allah, maka itu adalah alam. Ini bermakna, apabila disebut sebagai rahmat sekalian alam, sudah pasti antara termasuk dalam maknanya adalah rahmat terhadap binatang, rahmat terhadap tumbuh-tumbuhan, rahmat terhadap hutan, rahmat terhadap Muslim, malah termasuk juga rahmat terhadap bukan Muslim.

Pendekatan rahmat terhadap warga bukan Muslim atas tajuk “rahmatan li al-‘Alamin” ini, bukan sesuatu konsep yang diperkenalkan oleh Amanah sahaja, tetapi sebelum ini pun sudah ada ulama-ulama besar dunia yang pernah memperkenalkan sikap rahmat terhadap masyarakat bukan Muslim atas tajuk rahmat sekalian alam, sepertimana yang pernah diperkenalkan oleh Dr Sa’id Ramadan al-Buti menerusi kitab beliau yang bertajuk al-Jihad fi al-Islam, dan Syaikh Abdullah bin Bayyah dalam banyak ceramah dan syarahan beliau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan