Amaran dan kritikan pedas - rangkuman konvensyen Amanah 2019

Alyaa Alhadjri & Ramieza Wahid | Berita

KONVENSYEN AMANAH |
Amanah hari ini menamatkan konvensyen keempatnya, yang menyaksikan parti itu buat julung kalinya membuat pemilihan sejak penubuhannya lima tahun lalu.

Konvensyen ini berjalan serentak dengan Kongres PKR dan Perhimpunan Agung Umno. Walaupun menjadi parti terkecil antara tiga parti itu, acara Amanah ini tampak lebih fokus terhadap isu nasional.

Tetap ada rasa tidak puas hati, seperti yang jelas dilihat dalam program PKR dan Umno, tetapi ia lebih kepada prestasi Pakatan Harapan (PH) dan Amanah sendiri dalam kerajaan.

Umno berhasrat menunjukkan barisan kepimpinan yang bersatu padu tetapi terlihat bayang kepuakan, apabila sejumlah perwakilan menyerang anggota parlimen parti itu yang berhubung dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Kongres PKR pula bertukar menjadi pertembungan agak terbuka antara kem Azmin dengan kem Anwar Ibrahim, presiden parti itu.

Di sebalik kritikan daripada para perwakilan di konvensyen Amanah, mereka memilih untuk mengekalkan status quo kepimpinan tertinggi parti.

Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub kembali sebagai presiden dan timbalan presiden, manakala Mahfuz Omar, Mujahid Yusof dan Hasanuddin Mohd Yunos kekal sebagai naib presiden.

Sepanjang konvensyen, para perwakilan tidak segan-silu untuk mengkritik mereka berkenaan prestasi dalam kerajaan.

Mereka antara lain memberi amaran bahawa Amanah akan berdepan kemarahan pengundi jika pemimpin parti tidak bersuara terhadap dasar yang dilihat tidak popular. Antara contoh yang diberikan ialah skim subsidi petrol bersasar yang dijadual bermula Januari depan.

Begitu juga dengan pengurangan bantuan kewangan terhadap petani dan nelayan dan sejumlah lagi hal-hal yang berada di bawah tanggungjawab menteri dari parti itu.

Perwakilan dari Pahang, Mohamad Fadzly Mohd Ramly menyebut tentang apa yang disifatkannya sebagai "perubahan tidak diperlukan" yang mengundang bantahan orang awam.

Ahli jawatankuasa pimpinan nasional dalam ucapan penggulungan mengambil kira kritikan itu, dan ada yang mengaku konvensyen tersebut seperti yang diadakan sebuah parti pembangkang.

Pengarah komunikasi Khalid Samad berkata, mereka yang tidak biasa dengan Amanah mungkin merasakan para perwakilan menentang kerajaan PH.

Beliau mengakui kelemahan dalam soal komunikasi parti, dan berikrar untuk memperbaikinya.

Mesej keterbukaan terhadap kritikan ini turut diulang semula oleh pemimpin lain, termasuk Mahfuz, Mujahid dan Mohamad Sabu sendiri.

Pada masa sama, mereka mengingatkan anggota parti agar mengambil kira kedudukan Amanah dalam kerajaan, dengan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Hatta Ramly berkata beliau perlu menjawab untuk kritikan tajam perwakilan terhadap projek "kereta terbang" yang diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof.

Para pemimpin turut mengakui kritikan perwakilan dalam soal kelemahan kerajan dalam menyebarkan dasar-dasarnya kepada orang awam.

Mohamad Sabu dalam ucapannya menjelaskan tentang keperluan untuk menguar-uarkan kejayaan PH dengan lebih baik.

Dalam soal isu, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Mazlan Aliman berkata parti perlu mengambil pendirian membantah khabar angin pengambilalihan saham Felda Global Ventures oleh pihak ketiga.

Kegagalan berbuat demikian, katanya, akan menyebabkan Amanah boleh digelar "pengkhianat" oleh peneroka Felda yang menyokong parti itu ekoran perjuangan melindungi hak mereka.

Sepanjang konvensyen, perwakilan turut memberi amaran kepada pemimpin berhubung lantikan politik yang dibuat menteri daripada parti itu, termasuk untuk jawatan setiausaha politik dan dalam GLC.

Bekas ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud menerima tepukan gemuruh susulan ucapan lantangnya, yang antara lain mengingatkan tentang mereka yang memegang banyak jawatan politik.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Salahuddin sebelum ini dikritik atas beberapa lantikan politik dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Ketua pemuda yang baru dipilih, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim turut mengkritik beberapa setiausaha politik yang menurutnya "malas" turun ke kawasan parlimen bos mereka.

Secara keseluruhan, suara perwakilan jelas bahawa walaupun mereka masih menyokong pemimpin semasa, mereka mahu barisan kepimpinan itu membuat penambahbaikan, bukan saja dalam soal pencapaian tetapi juga komunikasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan