Mendepani penularan virus takfiri

Zolkharnain Abidin

Virus takfiri ini mula ditemui di negara ini sekitar 1981 di daerah Peradong, Terengganu. Ucapan daripada seorang pemimpin sebuah parti politik disahkan sebagai punca utama kepada penularan virus ini.

Ucapan pemimpin berkenaan melabel parti politik yang dilawannya mengamalkan perlembagaan penjajah, dan melawan parti politik musuh itu dianggap jihad.

Sekiranya mati, ia akan dianggap syahid. Mesej itu kemudian diangkat menjadi amanat pengucapnya.

Selepas itu amanat berkenaan dicetak dalam bentuk poster pelbagai saiz yang disebarkan melalui jualan atau diberi secara percuma.

Virus itu kemudian terus disebar daripada seorang kepada seorang yang lain atas nama menjelaskan batas-batas iman dan kufur.

Namun, penjelasan batas-batas iman dan kufur itu perlahan-lahan bertukar menjadi alasan mengkafirkan orang lain yang tidak sama jemaah atau tidak sealiran cara fikir.

Bahkan pembawa virus itu menganggap orang yang keluar dari kumpulan mereka sebagai merungkai ikatan Islam dari tengkuk.

Pembawa virus dengan amat yakin menganggap diri mereka bakal menghuni syurga. Lalu dengan giat mereka mengembangkannya melalui udara (ucapan).

Biar hayat virus panjang

Justeru mudah sekali virus berkenaan tersebar khususnya dalam kalangan orang agama kerana virus itu pembawa asalnya adalah orang agama juga.

Simptom lain mereka yang dijangkiti virus ini ialah memboikot kenduri-kendara, memboikot solat berjamaah, membatalkan perkahwinan dan menceraikan isteri.

Pendek kata, pembawa virus akan melihat orang yang belum terjangkit virus ini sebagai kotor, tidak memiliki akidah yang betul. Lalu kalau mati dalam keadaan tidak terjangkit mereka akan berdepan dengan azab neraka.

Simptom lain ialah gemar menghafal nombor keahlian parti, menunjukkan jari tengah semasa waima semasa memberi tazkiran di dalam masjid, berasa diri sendiri begitu suci, halaluna haramukum dan akhir-akhir ini selesa menampilkan gaya hidup mewah.

Simptom itu boleh bertambah dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.

Pembawa virus juga pandai mencari dalil untuk menghalalkan tindakan mereka. Jika tindakan itu dibuat oleh bukan pembawa virus, ia boleh dianggap haram. Sebaliknya jika sesuatu tindakan itu lahir daripada pembawa virus - walaupun sifatnya sama saja - akan dianggap halal.

Mereka juga bijak mengawal keselamatan virus yang mereka bawa supaya jangka hayat virus itu panjang dan terus segar untuk tersebar. Pembawanya kadang-kadang didapati menggunakan kenderaan mahal seperti Mercedes Benz.

Walaupun sudah hampir 40 tahun virus itu wujud, sukar sekali ia dapat dibanteras. Antara puncanya ialah, pembawa virus itu tidak sedar atau tidak mengaku mereka adalah vektor (pembawa) virus.

Punca lain ialah, mereka pandai menyalut virus itu dengan salutan agama supaya dilihat tidak berbahaya.

Bersarang di otak

Selepas PRU 14, pembawa virus ini menampilkan simptom baru yang berupaya menyumbang kepada suasana tidak tenteram dalam negara iaitu menyebar berita palsu.

Mereka berbuat begitu kerana perasaan tidak puas hati dengan kekalahan mereka dalam PRU yang lalu.

Paling menyakitkan hati mereka ialah, ramai individu yang selamat daripada terjangkit virus ini mendapat kedudukan penting dalam kerajaan. Gagasan Rahmatan lil Alamin yang diperkenalkan untuk mengekang penebaran virus ini mereka ubah menjadi rahmatan lil kafirin.

Pembawa virus ini menganggap dirinya sentiasa lebih pandai daripada orang lain. Dalam hal agama, mereka berasa lebih Islamik berbanding pihak lain.

Justeru, kalau membaca artikel atau berita, mereka hanya membaca tajuknya sahaja. Tajuk sensasi itu mereka jadikan bahan untuk menyalahkan pihak yang tidak sealiran dengan mereka.

Terbaru, virus itu dikesan menjangkiti seorang agamawan. Ketika negara sedang sibuk mendepani koronavirus, seorang agamawan dikesan menulis: "Menteri agama, berjiwa kafir."

Khabarnya, ambulans sudah dipanggil dan dia dijangka akan berdepan tindakan kuarantin dalam tempoh terdekat.

Virus ini memang sukar dikekang. Sarangnya ialah otak. Salutannya pula ialah agama. Masjid dan surau tertentu menjadi tempat utama virus ini tersebar.

Kini media sosial turut diguna di samping medium ceramah dan kuliah sebagai medium paling berkesan semenjak dahulu.

Masyarakat perlu peka dan mengambil vaksin kefahaman Islam yang sebenar, berpemikiran sederhana, mengelakkan fanatik kaum dan agama serta melihat Islam sebagai rahmat untuk semua bagi mengelak terjangkit virus ini.

ZOLKHARNAIN ABIDIN ialah timbalan yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadin) dan Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan