Selamat tahun tikus Dong Zong, ke mana awak hilang?

ZF Zamir

ULASAN |
Hari ini, menjelang Tahun Tikus tiga hari lagi, bunyi-bunyi bising tentang Jawi telah hilang.

Ia hilang sejak Dr Maszlee Malik membuat pengumuman untuk memulangkan semula jawatan menteri pendidikan kepada Dr Mahathir Mohamad pada 2 Januari yang lalu.

Ke mana Dong Zong menghilang?

Takut lawan Mahathir?

Jiao Zong juga hilang. Siti Kasim serta persatuan Sekat, sebuah persatuan anti-Jawi juga sudah tidak lagi kelihatan. Barangkali sudah ke Burkina Faso semuanya, mungkin.

Menarik untuk diperhatikan, mengapa bunyi-bunyi bising ini semuanya hilang? Desakan demi desakan, forum demi forum, perbincangan meja tertutup, perbincangan meja terbuka, 237 memorandum, 478 surat dan 1001 cara lagi pihak-pihak ini membuat tekanan ketika Dr Maszlee menjadi menteri pendidikan; semuanya poof, hilang ditelan angin malam yang sunyi.

Adakah kerana Dr Mahathir Mohamad telah memangku jawatan tersebut? Adakah kerana mereka tahu mereka tidak mampu melawan seorang Dr Mahathir? Atau apakah sebab sebenarnya mengapa bunyi-bunyi bising yang telah memecahbelahkan masyarakat kita selama beberapa bulan kebelakangan ini – hilang semuanya?

Jawi datang dari BN

Menarik juga untuk diperingatkan bahawa, isu Jawi ini sebenarnya datang dari zaman BN.

Pada tahun 2014, Semakan Semula Kurikulum Sekolah Rendah untuk memperkukuh Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah dilaksanakan. Salah satu item yang disemak adalah mengenai pengenalan tulisan khat terhadap Tahun 4 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Semakan semula ini adalah perkara normal untuk setiap lima dan 10 tahun, ketika satu-satu pusingan kurikulum baharu itu telah matang dan telah diuji keberkesanannya. Jadi untuk kurikulum baharu menjelang tahun 2020, semakan semula haruslah bermula pada tahun 2014. Ini adalah kerana semakan semula ini akan melibatkan banyak pihak dan masa yang panjang.

Kronologi semakan semula ini telah pun diterangkan di dalam poster seperti di laman Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini. Ia merangkumi;

(i) sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pakar pendidikan pada 2014;
(ii) dibentangkan dan diluluskan dalam Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan pada 5 Februari 2015; (iii) proses perangkaan KSSR termasuk penyediaan Dokumen Standard Pembelajaran & Pentaksiran (DSKP) pada 2017 dan akhirnya;
(iv) disusuli dengan pelaksanaan pada tahun 2020.

Defisit kepercayaan antara kaum

Jadi semua cakap-cakap yang menyalahkan Dr Maszlee Malik kerana memperkenalkan tulisan Jawi terhadap SJK Cina & Tamil ini adalah salah sama sekali. Kerana Jawi atau isu khat ini datang dari BN. Ia adalah hasil dan produk dari sistem pendidikan yang ditentukan oleh orang pakar, termasuk pakar pendidikan dan pakar kurikulum.

Malangnya saya yakin, Dong Zong, Jiao Zong dan rakan kaki “bakar line” dan kaki perhangat mereka seperti akhbar Sin Chew semuanya tahu perkara ini. Semuanya telah diterangkan di dalam kenyataan media KPM pada 14 Ogos 2019. Kenyataan media tersebut menjelaskan antara lain; i) keputusan kabinet untuk memendekkan pengajaran daripada enam muka surat kepada hanya kepada tiga muka surat serta, ii) diperkenalkan secara pilihan iaitu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dibenarkan membuat keputusan bagi pihak sekolah untuk meneruskan pengajaran ataupun tidak.

Inilah buat pertama kalinya, PIBG diberi kuasa untuk menentukan kurikulum sekolah dalam sejarah Malaysia sejak merdeka. Malangnya ia menunjukkan betapa besar defisit kepercayaan antara kaum di dalam negara ini.

Sistem galakkan jurang peluang

Defisit kepercayaan yang digambarkan oleh Dong Zong terhadap negara ini sebenarnya adalah simptom kepada penyakit lebih besar yang sedang kita semua alami hari ini.

Selama 60 tahun, masyarakat kita dipisah-pisah dan dipecah-perintah gaya British. Sejak dari kecil, anak-anak kita dibahagikan mengikut etnik dan bangsa mereka. Jadi kerangka cara berfikir kita masih terlingkup dalam kepompong pemikiran perkauman.

Masyarakat Cina mempunyai set pemikiran mereka yang tersendiri, masyarakat Melayu juga sama. Begitu juga set-set pemikiran oleh kaum yang lain. Kesannya, penyakit yang sedang kita hadapi hari ini tidak lagi dapat diubati kerana selama berpuluh tahun, tidak pernah wujud kemahuan politik (political will) untuk memberi ubat dan menyembuhkannya.

Sistem yang rancu dan pelbagai ini terbias kepada pembinaan negara bangsa dan masyarakat kita hari ini. Anak-anak bangsa Melayu tidak mengenali anak-anak bangsa Cina, bangsa India dan bangsa lainnya kerana sejak dari kecil mereka tidak didedahkan antara satu sama lain.

Sehingga sampai satu masa, masing-masing hilang kepercayaan terhadap satu sama lain walaupun duduk, makan, berjual beli dan bermasyarakat di atas padang yang sama.

Dua sistem vs satu sistem nasional

Lebih parah untuk penyakit yang sudah 60 tahun tidak diubati ini, selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH), terdapat segolongan kaum yang merasakan sudah sampai masa untuk mereka meminta lebih dari yang sepatutnya mereka dapatkan pada hari ini.

Golongan ini mahukan kemasukan ke universiti disama-ratakan. Mereka mahu kemasukan ke program matrikulasi dibuka kepada mereka. Mereka menuntut pelbagai jenis tuntutan lagi seolah-olah kerajaan PH memang kerajaan ‘sepenggal’, yang mustahil akan menang pada pilihan raya umum ke-15 nanti.

Sikap rakus, gelojoh, tak sabar dan penting diri ini kemudiannya menimbulkan rasa tidak senang kepada sebahagian besar warga masyarakat yang lain pula. Hukum kausaliti, ‘sebab-akibat’ ini menyebabkan wujudnya tindak balas yang kemudiannya menyebabkan kita pada hari ini berada dalam keadaan sangat tidak selesa.

Hari ini, isu perkauman semakin meruncing dan memuncak.

Ternyata, keupayaan bijak berpersatuan seperti Dong Zong rupa-rupanya digunakan untuk memperpanjang penyakit yang kita telah warisi selama ini.

Jurang peluang, jurang gender & jurang kemahiran

Hampir 20 bulan yang lalu saya pernah menulis data-data yang menakutkan ini. Berdasarkan laporan Unesco, sehingga 2016 seramai 32,563 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tak bersekolah. Seramai 196,159 orang berusia 12 tahun ke atas tak bersekolah. Kadar pendaftaran kasar untuk pendidikan prasekolah pula hanyalah 80.03 peratus saja. Hampir 19.97 peratus anak kecil berusia enam tahun tidak ke tadika atau institusi prasekolah.

Walaupun pendaftaran pendidikan rendah sekitar 98.91 peratus, pendaftaran pendidikan menengah pula jatuh teruk pada kadar 73.8 peratus. Menurut laporan ini juga, hanya sekitar 91.99 peratus anak saja yang berjaya bertahan di sekolah rendah dan meneruskan pendidikan di peringkat menengah.

Ini bermakna terdapat hampir 26.2 peratus anak sekolah rendah yang tak mendaftar untuk menyambung pengajian di sekolah menengah.

Menurut statistik kanak-kanak oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pula mencatatkan hanya 96.1 peratus saja menamatkan pendidikan rendah dan beralih ke pendidikan menengah 2016 serta hanya 96.4 peratus menamatkan pendidikan menengah rendah dan beralih ke menengah atas 2016.

Ini bermakna hampir 3.9 peratus anak sekolah rendah tercicir dan tidak mendaftar di tingkatan satu serta hampir 3.6 peratus anak tingkatan tiga pula tercicir dan tidak menyambung pendidikan di tingkatan empat.

Anti-Jawi atau antiperpaduan?

Saya fikir begini. Jika kita telah meneliti dan mengenal pasti apakah penyakit yang sedang kita hadapi dan simptom-simptom yang sedang kita rasai; haruslah juga kita mengenal pasti ubat-ubatan yang perlu dipreskripsikan.

Antaranya tentulah, apakah kita benar-benar mahukan dua sistem pendidikan nasional atau sebenarnya kita hanya perlukan satu sistem tunggal sahaja?

Apakah sistem pendidikan kita membina jurang peluang atau memperbaiki jurang sedia ada?

Adakah kita boleh membulatkan tekad politik untuk melaksanakan pemisahan antara pendidikan dan politik?

Semua data-data di atas mungkin tak penting buat Dong Zong dan teman-teman mereka. Yang lebih penting mungkin anti-Jawi, anti-Melayu, anti-Islam atau sebenarnya antiperpaduan.

Ah, kata Puthut EA, penulis Cinta Tak Pernah Tepat Waktu dari seberang;

“Selebihnya, aku berpikir bahwa masyarakat terlalu pengecut. Membiarkan semua kebobrokan ini terjadi dan mereka diam saja. Hanya mencatat di pikiran. Hanya membatin. Marah dalam diam. Akhirnya banyak yang kena penyakit strok, asam lambung, dan sakit gigi.”

ZF ZAMIR adalah mantan setiausaha akhbar kepada menteri pendidikan Dr Maszlee Malik yang meletakkan jawatan baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan