Katakan Tidak pada 'Kerajaan Pintu Belakang'

Biar rakyat buat pilihan jika kerusi tidak cukup, kata Khalid Samad
OlMALAYSIA DATELINE
Parlimen perlu dibubarkan sekiranya parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan PH mendapat mandat rakyat untuk mentadbir ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Jelasnya, rakyat perlu dibiar membuat pilihan kerajaan yang mereka inginkan jika jumlah kerusi tidak mencukupi.

“Jangan khianati rakyat. Buat masa sekarang, saya akan terus menjalankan tugas sehingga keadaan dapat ditentukan sama ada kerajaan PH kekal atau bertukar,” dipetik Harian Metro.

Pengarah Komunikasi AMANAH itu berkata demikian ketika hadir di Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Kawasan Khas Persisiran Pantai Port Dickson, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau berharap agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dilantik sebagai Perdana Menteri yang kelapan selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Walaupun Tun (Dr Mahathir) sudah pun menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, tetapi bergantung kepada persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi saya tiada isu ‘kerajaan pintu belakang’. Jalan terbaik adalah pembubaran Parlimen. Biar rakyat yang tentukan. Rakyat tidak perlu bimbang, kerajaan masih berfungsi,” jelas Khalid lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan