Majlis Presiden PH percaya Anwar dapat sokongan majoriti PM ke-8

AKMAL MANAF
Majlis Presiden Pakatan Harapan percaya calonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat jumlah pencalonan terbesar dari kalangan Ahli Parlimen berdasarkan proses yang ditentukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tempoh hari.

Menurut Majlis Presiden, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu wajar diberi peluang menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan keyakinan majoriti Ahli-Ahli Parlimen terhadap beliau.

“Kami (Majlis Presiden) meletakkan kepercayaan terhadap proses, budi bicara serta kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mencari penyelesaian dalam isu ini.

“Kami juga menyambut baik kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini, serta menjunjung kasih terhadap perkenan Baginda untuk terus berusaha mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu pelantikan Perdana Menteri,” maklum kenyataan itu.

Dalam sidang media Majlis Presiden pada Rabu lalu, Anwar mengumumkan Ahli Parlimen PH yang terdiri daripada AMANAH, PKR dan DAP telah mencalonkan nama beliau sebagai calon Perdana Menteri Ke-8.

Anwar berkata, keputusan Majlis Presiden pada Selasa juga telah menetapkan bahawa calon Perdana Menteri Pakatan Harapan adalah dirinya.

Istana Negara dalam satu kenyataan sebentar tadi menegaskan Seri Paduka Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli bagi membentuk kerajaan baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan