PAS sokong Dr M selepas 'kleptokrat kesayangan' hilang kuasa

Malaysiakini
Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution membidas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengulangi pendirian menyokong agar Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

Beliau berkata, semua pemimpin PH setuju Mahathir ada kelebihan kepimpinan sekali gus bersetuju untuk diangkat sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Berbeza dengan Hadi, hanya nampak kelebihan Tun (Dr Mahathir Mohamad) selepas pemimpin kleptokrat kesayangannya sudah hilang kuasa. Bahkan Hadi waktu itu anggap Tun hanya layak uruskan klinik, bukan negara.

"Perpaduan dan persefahaman dalam PH begitu padu, sebarang isu melibatkan kepentingan negara mampu dibincang dalam suasana hormat-menghormati dan ata dasar persetujuan bersama, bukan tekan-menekan seperti membawa undi tak percaya yang dicadangkan oleh Hadi.

"Hadi tidak perlu tunjuk jaguh untuk mengajar pemimpin PH berenang," katanya dalam kenyataan media kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Hadi yang juga anggota parlimen Marang menegaskan PAS tetap dengan pendirian agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal PRU14, meskipun terus menerus diasak untuk melepaskan jawatannya.

Katanya, ini kerana suasana mutakhir masih memerlukan Mahathir kekal memegang jawatannya.

"Ya, (PAS) masih mengekalkan sokongan kepada Tun (Mahathir) dan masih lagi mempertahankan Tun untuk menjadi perdana menteri, kerana suasana yang ada ini Tun perlu jadi perdana menteri," katanya kepada media selepas menyampaikan syarahan khas di Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan 'dosa' Hadi yang menyokong kepimpinan kleptokrat sebelum ini supaya kekal berkuasa tidak akan terhapus sampai bila-bila.

"Sikap beliau menolak kepimpinan Tun sebelum PRU14 juga tidak akan dilupakan oleh rakyat Malaysia.

"Sikap PAS toleransi terhadap "bad governance" tercermin dalam pembelian kenderaan mewah ketika rakyat dan negeri yang ditadbir PAS tercungap-cungap dalam kemiskinan adalah gambaran PAS adalah parti yang tidak layak mentadbir negara.

"Kerana sikap acuh tak acuh kepada "good governance" itulah menyebabkan PAS boleh menerima kepimpinan kleptokrat sebelum ini," katanya yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan