Tun dari kaca mata orang PKR

Wan Ji Wan Hussin

Pada Julai 2015, saya mengumumkan kemasukan ke PKR. Dengan itu, terbatal keahlian PAS saya – parti yang pernah saya duduki semenjak baligh sehingga memegang beberapa jawatan dalam parti di peringkat kawasan, negeri dan pusat.

Sebagai ahli PKR yang baru, saya cuba memahami budaya parti yang diasaskan oleh Anwar Ibrahim itu.

Saya masuk PKR bukan kerana saya pengagum Anwar Ibrahim. Saya juga bukan pengagum pemikiran Anwar. Malah, ada beberapa idea-idea islam yang dikemukakan oleh Anwar yang saya kurang bersetuju.

Bagaimanapun, saya selalu mendapat kunci baru, apabila saya mendengar ucapan Anwar dalam pertemuan yang melibatkan ilmu. Nama-nama tokoh Islam yang kadangkala beliau sebut, ia baru bagi saya – menjadikan saya mahu mencari bahan bacaan yang berkaitan.

Ceramah politik beliau, saya kurang minat. Ucapan yang berkaitan dengan kebudayaan, sastera dan Islam, menarik minat untuk saya untuk saya ambil perhatian.

Dari sudut pengalaman yang tidak lama itu, saya dapat rasakan sentimen pendukung parti terhadap Dr Mahathir Mohamad. Itu sudah pasti, kerana parti itu sendiri lahir dari perlawanan terhadap Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri keempat.

Namun begitu, suasana politik tidak pernah sekata. Ia sentiasa berubah. Kadangkala perubahan itu berlaku walaupun hanya dalam masa sehari sahaja. Dengan sebab itu, Dr Mahathir yang selama hari ini dianggap musuh, tiba-tiba menjadi teman dan kawan.

Mahathir

Sebelum PRU ke-14, antara perkara yang menjadi wacana politik adalah melakukan mudarat kecil demi mengelak dari berlaku mudarat yang lebih besar.

Ungkapan ini sebenarnya dari kaedah fikah yang terkenal. Antara contoh yang dibuat adalah, makan babi itu haram.

Tetapi, demi menyelamatkan nyawa, yang merupakan mudarat besar, maka memakan babi yang merupakan mudarat kecil itu dibenarkan.

Dalam wacana politik ketika itu, mudarat besar adalah berdirinya kerajaan BN yang dikepalai oleh Najib Razak.

Bermula dengan skandal kewangan negara seperti 1MDB sehingga melibat akta-akta zalim yang membelenggu perundangan negara.

Malah, kerajaan BN ketika itu seakan-akan hilang akal dalam menanggapi isu-isu yang melibatkan negara. Apa lagi ada yang melibatkan nyawa dan kematian.

Mudarat kecil pula adalah penerimaan terhadap Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan. Dalam "ijtihad politik" ketika itu, tidak menerima Dr Mahathir, PH tidak ada nilai tambah dalam usaha menjatuhkan BN.

Apa lagi, ketika itu Anwar dalam penjara.

Dr Mahathir pada awalnya adalah musuh parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Namun, sifir politik selalu menyatakan bahawa musuh tidak selamanya musuh, dan kawan tidak selamanya kawan. Maka tidak hairan Dr Mahathir diterima pemimpin PKR, DAP dan Amanah.

Dr Mahathir sudah mula menyerang Najib. Hishamuddin Rais pun mengulangi teori yang berbunyi: "Musuh kepada musuh adalah kawan."

Ketika itu, saya faham dari teori Tukar Tiub itu, Dr Mahathir tetap musuh. Cuma dalam fasa melawan Najib, Dr Mahathir adalah kawan.

Walaupun semua parti-parti pembangkang sudah sedia mahu menjatuhkan Najib.

Tetapi, pengalaman politik yang begitu lama, Dr Mahathir amat bijak sehingga berjaya menjadikan semua parti-parti pembangkang berganding tangan dengan beliau dalam usaha dan cita-cita yang sama.

Dengan itu, Dr Mahathir berjaya mendapat sokongan Amanah. Pelbagai usaha dilakukan, termasuk ke rumah Mat Sabu untuk menjamu selera. Presiden Amanah itu terkenal dengan kemahiran memasak.

Terhadap DAP pula, Dr Mahathir mula mengaku segala tuduhan beliau terhadap parti itu sebagai tidak benar.

Segala propaganda yang Dr Mahathir cipta terhadap DAP dahulu, beliau akui bahawa itu semua ciptaan beliau dengan tujuan memburukkan imej parti tersebut sahaja.

Terhadap PKR pula, agak sukar dan gusar sedikit. Beliau berusaha mahu berjumpa dengan Anwar yang ketika itu dalam penjara.

Walaupun gagal, tetapi pertemuan yang gambar beliau bersalaman mesra dengan Anwar di mahkamah ternyata membentuk satu persepsi politik.

Walaupun, kelihatan Anwar menerima Dr Mahathir. Tetapi itu tidak bermakna beliau mudah mempengaruhi dua insan - Wan Azizah Wan Ismail selaku presiden, dan Nurul Izzah Anwar selaku naib presiden.

Kak Wan

Di peringkat awal, Kak Wan (Wan Azizah) boleh dikatakan orang yang susah untuk menerima Dr Mahathir dalam kerjasama politik.

Dalam satu kunjungan Kak Wan ke Kelantan, Ustaz Nik Omar ada bertanya kepada Kak Wan berkenaan sikap beliau terhadap Dr Mahathir?

Ustaz Nik Omar menyatakan bahawa Kak Wan memberi jawapan pendek tetapi mengagumkan.

Kak Wan kata: “Demi Malaysia.”

Ketika konvensyen PH pada Januari 2018 bertempat di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, Dr Mahathir dikatakan tidak ada dalam senarai pemberi ucapan.

Tiba-tiba, Dr Mahathir datang, menyebabkan Kak Wan menghubungi seseorang ustaz hanya semata-mata bertanya pandangan, apakah perlu beliau menyambut Dr Mahathir - dari sudut pandang agama Islam?

Ustaz tersebut menceritakan kepada beliau satu hadis berkaitan pesan Nabi SAW kepada sahabat.

Kata baginda: “Telah datang kepada kamu orang yang mulia dalam sesuatu kaum. Maka muliakan orang mulia tersebut.”

Dengan itu, Kak Wan sambut kehadiran Dr Mahathir.

Tidak mudah Kak Wan untuk menerima Dr Mahathir. Tetapi, demi memastikan negara perlu diselamatkan dari kehancuran yang sedang dilakukan BN ketika itu, Kak Wan berkorban perasaan.

Nurul Izzah

Sebelum PRU, ada beberapa orang pemimpin Bersatu minta bertemu Nurul Izzah. Dalam pertemuan itu, pihak Bersatu berjanji beberapa perkara.

Pertama, menerima agenda reformasi dan perubahan pada sistem negara. Kedua, bebas Anwar (ketika itu dalam penjara). Dan ketiga, Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

Mereka minta pemimpin mereka menjadi perdana menteri ketujuh. Walaupun orang yang meminta jawatan PM itu bukan Dr Mahathir, Nurul Izzah tetap tidak memberikan sebarang jawapan terhadap pertemuan tersebut.

Mengenangkan sejarah hitam yang sebegitu lama, Nurul Izzah antara yang sukar untuk menerima kehadiran Dr Mahathir dalam gabungan PH.

Bagaimanapun, beliau hormati keputusan PH yang melibatkan empat parti – PKR, DAP, Amanah dan Bersatu sehingga dalam hal mencalonkan Dr Mahathir sebagai PM ketujuh.

Tidak senang untuk berkorban perasaan. Namun, isu Malaysia bukan soal perasaan, tetapi soal sejauh mana memastikan negara ini perlu diselamatkan.

Beliau akur demi memastikan Malaysia menuju ke arah yang lebih baik.

Azmin Ali

Ketika itu, Azmin Ali masih lagi bersama PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Tidak sedikit pemimpin dan ahli Amanah merasakan mereka seperti dianaktirikan dalam kerajaan Selangor.

Dalam banyak pertemuan bersama rakan-rakan Amanah, keluhan luka itu sering sangat kedengaran.

Ketika perdana menteri keempat bersama PH, Azmin bersama rakan-rakan Kartel beliau masih lagi tidak selesa.

Berbagai-bagai hujah dan persepsi yang dicipta dalam media awam dalam menampilkan sikap tidak setuju dengan penerimaan terhadap Dr Mahathir.

Keadaan itu berubah selepas kemenangan PH. Azmin bersama beberapa rakan Kartel mendapat banyak keuntungan.

Beliau sendiri menjawat jawatan menteri. Zuraida Kamaruddin sebagai pendukung tegar Azmin turut mendapat keuntungan sama.

PH

PH sudah berjaya terbina. PKR, Amanah, DAP dan Bersatu bergabung untuk membentuk kerajaan. Berkhidmat kepada rakyat tidak boleh diabaikan lagi.

Tidak dinafikan, banyak usaha telah dilakukan. Tetapi kadangkala ada beberapa tindakan yang tidak memberi implikasi baik kepada rakyat.

Sudahlah PH gagal menunaikan beberapa janji manifesto yang dianggap penting, kedengaran kenyataan yang memandang sinis terhadap rakyat yang membangkitkan perkara ini seperti perkataan “manifesto bukan kitab suci”.

Semua ini melemahkan semangat pendukung PH yang berjuang untuk memastikan jatuhnya BN dahulu. Keadaan ini tidak wajar berlanjutan, sebaliknya perlu diatasi dengan baik.

Di tengah-tengah kemelut ini, kedengaran isu peralihan kuasa membawa kepada usaha menjatuhkan kerajaan PH dengan mahu menubuhkan kerajaan yang lain.

Ia sudah pasti menambah kemarahan dari pihak pendokong PH. Apa lagi, usaha menubuhkan kerajaan baru itu melibatkan parti-parti pembangkang.

Saya kira, penubuhan PH bukan sesuatu yang senang. Ia berdiri atas titisan air mata dan pengorbanan perasaan rakyat bawahan sehingga pimpinan atasan.

Demi memastikan negara berjaya dipulihkan, agenda perubahan sistem dan reformasi wajar diangkat semula. Soal kuasa politik, perlu beroreantasikan kepada agenda kebajikan rakyat merentasi anutan agama dan kaum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan