Adun PH Johor serah memorandum cabar MB

AMNI JAGAT
Adun Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini menghantar memorandum kepada speaker Dewan Negeri (Dun) Johor bagi mengadakan Sidang Dun Khas bagi menentukan sokongan kepada Menteri Besar (MB) Johor.

Perkara itu disuarakan oleh Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan ketika sidang media penyerahan memorandum tersebut di pejabat Speaker Dun Johor.

Aminolhuda berkata, tuntutan itu selari dengan perkara 7 (1) dan 7 (2) Peraturan Dewan Negeri Johor yang membolehkan Adun untuk memohon agar Sidang Dun Khas tersebut dapat diadakan dengan kadar segera.

“Sidang Dun ini perlu diadakan bagi menentukan sokongan yang diterima oleh MB Johor seperti maksud Fasal 4(6) Undang-Undang Negeri Johor.

Aminolhuda ketika sidang media di hadapan pejabat speaker Johor.

“Kami juga memohon agar perkara ini dapat disegerakan supaya menjamin kesejahteraan dan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri Johor.

“Ini sebagai satu bukti sekiranya MB Johor mempunyai sokongan yang cukup yang selama ini disebut oleh beliau,” ujarnya.

Dalam pada masa sama, beliau yang merupakan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor berkata, perkara tersebut bukanlah pertikaian terhadap baginda Sultan Johor malah ianya sekadar untuk mengikut perundangan yang telah termaktub.

Selain itu katanya, tindakan ini juga adalah sebagai suatu cabaran kepada MB Johor yang selama ini berbohong berkenaan dengan jumlah sokongan Adun yang dinyatakannya sebelum ini.

“Kami mempertikaikan akan kesahihan MB Johor berkenaan dengan pengakuan beliau yang menyatakan bahawa mereka mendapat 5 sokongan dari Adun PH, 3 dari PKR dan 2 dari AMANAH.

“Berdasarkan kenyataan itu, ternyata ianya adalah suatu pembohongan di mana semua wakil rakyat AMANAH bersama dengan kami hanya cuma seorang ahli PKR yang seberang ke sana.

“Tindakan setakat ini hanya memohon untuk mengadakan sidang Dun Khas dan sehingga kini masih belum ada langkah selanjutnya seperti ke arah perundangan mahkamah dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyatakan penerimaan dengan hati yang terbuka berkenaan dengan pelantikan barisan exco kerajaan negeri Johor yang baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan