‘Allah berkuasa bukan virus berkuasa’

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Dalam kalangan orang tabligh, ramai orang alim. Saya pernah bertemu dengan seorang pemimpin mereka yang fasih berbahasa Arab dan saya diberitahu beliau alim dalam hadith dan fiqh.

Sementara itu, kebanyakan pengikut tabligh di negara ini terdiri daripada mereka yang berminat untuk memperbaiki kehidupan beragama, terutama golongan muda yang mula sedar dirinya jauh daripada agama.

Kesedaran itu sangat bagus. Selain institusi pondok, bagi mereka yang punya komitmen kehidupan yang banyak, tabligh adalah pilihan untuk mencapai tujuan tersebut.

Cuma, setakat yang saya tahu, mereka tidak belajar agama kecuali melalui program agama yang menjadi rutin kelompok mereka iaitu keluar, bayan, tazkirah, gasy dan sebagainya.

Keluar dalam bilangan hari tertentu adalah rutin utama mereka. Ada yang sanggup keluar sampai empat bulan, meninggalkan keluarga yang perlu disantuni atas nama jalan Allah dengan tujuan “dakwah” dan “kerana Allah.”

Saya pernah bertanyakan hal itu kepada seorang rakan tabligh. Katanya, kita keluar kerana Allah, jadi keluarga kita Allah jaga.

Namun sedihnya, hal yang saya lihat dengan mata sendiri, sepanjang tempoh keluar, keluarganya tidak terurus dan ada anak-anak yang terbiar. Lebih sedih lagi, anak-anak itu dibeban kepada orang tua di kampung untuk disantuni.

Saya tidak berkata semua orang tabligh begitu kerana dalam kalangan mereka ada yang berjaya, dan anak-anak mereka cemerlang mengatasi anak-anak orang bukan tabligh.

Setahu saya, pelajaran agama yang mereka dapat hanya sesama mereka melalui bayan berpandukan kitab fadhilat iaitu fadhilat solat, zikir dan sebagainya.

Mereka hanya membaca teks kitab berkenaan tanpa ada orang alim yang boleh mencungkil isi kandungan teks tersebut dari sudut maqasid, kaedah pelaksanaan dan sebagainya.

Akhirnya, kefahaman mereka terhadap teks itu berlaku secara literal dan apabila mereka beramal dengannya, amalan mereka menjadikan agama ini kaku, keras, tidak meraikan realiti dan jumud.

Semua teks itu tidak ada masalah, kerana ia disusun oleh orang yang mahir dalam ilmu hadith, cuma kaedah memahami teks dengan mengambil kira konteks realiti tidak wujud dan tidak dilatih.

Saya berikan contoh. Seorang saudara saya orang tabligh begitu konsisten dengan berjamaah di masjid. Suatu hari, beliau terlewat sedikit ke masjid menyebabkan beliau memecut keretanya untuk mengelak terlepas takbiratul ihram bersama imam.

Hasilnya, dia kemalangan. Tindakan itu berpunca daripada kefahamannya yang kaku terhadap hadith kelebihan solat berjamaah dan kelebihan mendapat takbiratul ihram bersama imam.

Dia mengabaikan hadith, ikutlah imam sekadar yang seseorang dapat. Jika terlepas, sempurnakan secara bersendirian. Juga hadith larangan tergesa-gesa untuk hadir solat berjamaah.

Demikian juga hadith berkaitan larangan berkain labuh di bawah buku lali. Dalam satu musafir, guru saya ditegur oleh orang tabligh kerana memakai seluar labuh di bawah buku lali. Guru saya yang alim usul fiqh diam sahaja sambil senyum kepada saya.

Justeru kita nampak ramai orang tabligh pakaian mereka singkat kerana berpegang dengan hadith larangan berpakaian labuh di bawah buku lali.

Padahal, larangan itu illahnya ialah sombong kerana kebanyakan orang dahulu apabila berkain labuh akan sombong. Lantas dilarang berkain labuh untuk mengelak sombong, sifat yang Allah benci itu.

Namun kini, berseluar labuh di bawah buku lali menjadi perkara biasa, bahkan berseluar di atas buku lali menjadi perkara janggal pula. Justeru apabila tidak ada sombong, tidak adalah larangan itu.

Jika berkain atau berseluar di atas buku lali tapi sombong tetap berdosa kerana alasan larangan ialah sombong bukan semata-mata melihat kepada singkat atau labuhnya pakaian.

Maksud saya ialah, sebahagian orang tabligh beragama tanpa kefahaman. Ketekunan mereka beragama tanpa memahami selok-belok kaedah berdalil, tidak memahami usul fiqh apatah lagi tanpa mengambil kira maqasid syariah, menjadikan amalan agama mereka kadang-kadang tidak menampakkan keindahan agama tetapi merosakkannya.

Hal inilah yang saya nampak dalam kefahaman mereka terhadap isu Covid-19 ini. Mereka melaung, Allah berkuasa, bukan virus berkuasa. Kita ada Allah, jangan takut kepada virus, takutlah kepada Allah. Bertawakkallah kepada Allah, jangan bergantung kepada manusia.

Saya pernah berkata kepada seorang teman saya, apabila dia mahu keluar ketika padinya sudah mula merunduk dan dia serahkan kepada Allah, “Apa hang ingat Allah kuli sakai hang ka? Tuai padi hang tu kerja hang, bukan kerja Allah.”

Cakap saya tak berkesan. Dia keluar juga 40 hari. Apa jadi dengan padi dia? Entah, saya tak ambil tahu lagi selepas itu. Begitulah cara mereka memahami tawakkal, takdir, rezeki dan banyak lagi urusan qada’ dan qadar dengan konsep yang celaru dan keliru.

Banyak lagi contoh lain yang memberi gambaran kepada kaedah memahami agama yang tidak serasi dengan semangat dan ruh agama yang Allah turunkan sebagai rahmat untuk semesta alam.

Itu belum lagi seorang rakan tabligh yang saya jumpa sedang berjemur di tengah panas. Apabila ditanya alasannya, dia jawab Allah jadikan matahari untuk keringkan pakaian sebagai nikmat. Jadi saya sedang mensyukuri nikmat Allah. Sebelumnya dia mengambil wuduk sehingga basah lencun kurtanya.

Kefahaman agama secara literal sebegini bukan berlaku dalam kalangan orang tabligh saja tapi berlaku dalam kalangan ramai orang terutama anak muda yang ghairah untuk beragama dan menjadi orang beragama.

Mereka membaca teks tanpa guru, dan lebih bahaya mereka tidak memahami bahasa asal teks berkenaan. Mereka memahami agama melalui terjemahan kepada teks secara bersendirian.

Saya pohon maaf dengan tulisan ini yang bukan bertujuan untuk menjatuh apatah lagi menghina.

Cuma saya tak tertahan hati, otak saya mendesak, jari saya meronta-ronta untuk menulis hal ini apabila terbaca berita orang tabligh berkumpul di Indonesia dalam suasana kita semua sedang dilingkungi fitnah Covid-19 yang mengancam nyawa ini.

Semoga Allah melimpahkan afiat-Nya untuk kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan