Bersatu guna isteri pula pujuk Ahli Parlimen AMANAH sertai kerajaan PN

Malaysia Dateline
Lebih 7,000 penonton menonton secara live temurapat Khalid Samad malam ini melalui saluran ini sahaja.

Selepas gagal memujuk secara berdepan, usaha memujuk para Ahli Parlimen AMANAH agar menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijalankan oleh para isteri pula.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, kerja memujuk kini dijalankan oleh para isteri pemimpin PN ke atas para isteri pemimpin AMANAH.

“Selepas gagal pujuk kami, kini isteri mereka pula memujuk isteri kami agar kami menyertai kerajaan Perikatan Nasional,” kata Khalid dalam majlis temurapat dengan ahli dan penyokong AMANAH dan PH di Gombak malam ini.

Temurapat itu turut disiarkan secara langsung melalui laman sosial termasuk facebook.

Turut menjadi sasaran adalah isteri kepada Dr Dzulkefly Ahmad, bekas Menteri Kesihatan.

Isteri beliau juga dihubungi oleh isteri salah seorang pemimpin Bersatu agar memujuk Dr Dzulkefly supaya menyertai kerajaan PN.

“Kita nak tokoh yang berwibawa macam Dr Dzulkefly untuk kekal sebagai Menteri Kesihatan,” kata isteri pemimpin Bersatu itu kepada isteri Dr Dzulkefly.

Sehingga kini, hanya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari AMANAH yang kekal kesemuanya bersama PH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan