Biarkan musuh terus hidup senang, satu malapetaka

DR KAMARUDIN MUSA
Matlamat dalam sesuatu peperangan adalah untuk mencapai kemenangan mutlak. Hanya dengan kemenangan mutlak sahaja musuh dapat dimusnahkan dan secara tidak langsung merupakan satu jaminan untuk terus mengekang pergerakan musuh, menjadikan musuh hilang fokus serta tidak mempunyai ruang untuk membina komunikasi bagi mengumpulkan kembali kekuatan.

Maka natijahnya, kemenangan bermakna meletakkan musuh dalam keadaan kecederaan berterusan, sehingga sukar untuknya bangkit. Peluang dan ruang untuk musuh bergerak perlu dimatikan serta dikekang secara fizikal dan mental.

Kebangkitan musuh merupakan bencana kepada kemenangan yang diraih, satu ancaman yang membolehkan musuh kembali untuk menyerang, seterusnya memecahkan benteng pertahanan, berkemungkinan mengakibatkan kemenangna awal akan berubah menjadi kekalahan kemudian.

Berdasarkan hakikat ini, medan politik sesuatu yang tidak dapat dinafikan juga merupakan satu peperangan, peperangan dalam bentuk dan kaedah yang lain, pertempuran melibatkan bertarungan ideologi, personaliti, manipulasi kuasa dan pendekatan taktikal dalam menguasai pemikiran pengikut serta membina jaringan untuk mengikat kepercayaan rakyat terhadap kelompok politik dalam konteks memperluaskan rangkaian pengaruh dan penguasaan persekitaran sosial.

Ini bermakna tindakan politik sememangnya juga penuh dengan perkiraan strategik dan memerlukan para strategis yang mempunyai keupayaan untuk membuat perancangan, peramalan dan berfikir secara berfokus alternatif dalam menentukan perkiraan pengambilan keputusan politik dalam aspek melancarkan serangan, bertahan dan mengatur serangan balas.

Sehubungan dengan itu, pemikiran politik dan tindakan politik seharusnya juga mempunyai kemampuan untuk bertindak dalam lingkungan strategi perang. Namun demikian, politik memerlukan ideologi yang kuat serta kukuh bagi mewujudkan keterikatan bersama, bagi membina sistem kepercayaan yang mantap serta dapat membangunkan akar keyakinan yang kuat dalam kalangan pengikut dan juga kumpulan masyarakat awam, bagi membolehkan pembentukan pasukan operasi yang padu serta agresif, khususnya dalam konteks usaha untuk mencapai matlamat politik.

Dalam sesuatu peperangan keperluan untuk melemah serta menghapuskan musuh menjadi objektif utama, namun demikian dalam konteks realiti politik, musuh bukan bersifat mutlak, musuh boleh bertukar menjadi rakan, rakan boleh bertukar menjadi musuh, situasi ini tentunya akan mendedahkan pelaku politik sentiasa berada dalam situasi bahaya untuk dikhianati dan diserang secara terbuka dalam konteks realiti percaturan politik kekuasaan.

Memandangkan musuh politik (khususnya yang asalnya rakan politik) pada bila-bila masa mempunyai ruang dan peluang untuk melancarkan serangan “pukul dan lari” sebagaimana strategi “Guerrilla warfare” Carl von Clausewitz (1780-1831).

Musuh yang melakukan serangan “pukul dan lari” akan membina komitmen politik baru dengan meninggalkan kumpulan dan kelompok lama, bersedia untuk bergabung dengan kumpulan kelompok baru yang mempunyai kepentingan bersama, bagi mewujudkan pasukan baru yang akan dijadikan mekanisme baru untuk menentang kumpulan lama.

Maka inilah fenomena politik yang sering kali dijadikan percaturan untuk melemahkan sesutau perikatan atau gabungan politik. Kemenangan sesuatu kumpulan gabungan politik bukan merupakan satu jaminan untuk terus berkuasa, sekiranya musuh politik masih boleh bergerak dan aktif mencari pengaruh.

Berkeliaran dalam membina pengaruh politik dan secara berterusan menyerang pihak yang menang, tanpa adanya tindakan serta usaha konkrit untuk mengekang penyebaran propaganda yang bertujuan merosakkan psikologi kelompok politik yang menang.

Keadaan ini tentunya akan memberikan kesan kepada usaha memperkukuh kestabilan keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan ahli-ahli kumpulan yang menang, impaknya berpotensi untuk memusnahkan komitmen pasukan serta kerterikatan terhadap falsafah perjuangan bersama dan menyumbang kepada perpecahan serta kejatuhan.

Kegagalan dalam bertindak ke atas penyebaran propaganda musuh tentunya akan melumpuhkan sistem berfikir dalam kalangan ahli kelompok politik yang menang dan akhirnya melemahkan jentera operasi, keadaan ini tentunya memberi kelebihan kepada pihak yang kalah untuk bangkit dengan menguasai persekitaran sosial secara aktif, seterusnya menghentikan langkah pihak yang menang.

Dalam situasi ini pihak yang kalah akan bertukar tempat menjadi pihak yang menang dan kembali berkuasa.

Ini bermakna dalam menggerakkan perikatan politik, meskipun dibentuk berasaskan tujuan bersama namun ia bukanlah satu jaminan dalam meneruskan konsesus tindakan.

Sebaliknya masih mempunyai ruang untuk berlakunya pertembungan dan konflik dalaman yang boleh melemah serta memecahkan perikatan tersebut. Kelonggaran dalam menguruskan idealisme politik, serta kegagalan dalam menguruskan lompang perbezaan matlamat politik akan menjadi antara faktor terpenting yang boleh merosakkan sesuatu penggabungan politik.

Situasi ini akan menjadi lebih kronik dan mampu untuk meruntuhkan ikatan politik, apabila pada masa yang sama wujudnya gerakan daripada luar yang membuat asakan dan serangan, dengan penglibatan anggota dalaman gabungan.

Keadaan ini akan menjadi lebih tidak terkawal apabila berlakunya peyusupan musuh politik yang melakukan penyamaran ke dalam kelompok gabungan, kesan daripada itu akan menjadi unsur dalaman yang akan berperanan sebagai agitator untuk memecahkan keyakinan dan kepercayaan bersama.

Dominasi golongan musuh yang mesyusup ini akan melemahkan interaksi dan komunikasi dalam kalangan anggota-anggota gabungan politik yang berpotensi untuk berlaku keretakan dan perpecahan sehingga terbubarnya sesuatu penggabungan.

Berdasarkan hakikat ini gerakan politik, aksi politik serta percaturan politik perlu difahami dalam konteks aksi medan perang, politik adalah perang ideologi yang lebih sengit, berbanding dengan perang bersenjata di medan tempur.

Apa pun realitinya kemenangan mutlak hanya boleh dicapai dengan kemampuan untuk melucutkan senjata musuh secara sepenuhnya, situasi ini menjadi tugas utama bagi seorang panglima perang, berusaha menjadikan pasukannya tidak lagi terancam dengan kebangkitan musuh, apa yang jelas musuh perlu dimatikan kekuatan mereka sama ada scara fizikal, mahu pun secara moral.

Keadaan ini sewajarnya dilakukan terhadap musuh sebagai satu tekanan supaya musuh kehilangan prinsip moral serta keluar daripada medan perang dengan kekalahan yang menyukarkan untuk bangkit kembali, memutuskan segala perhubungan dengan persekitaran.

Membiarkan musuh berinteraksi dengan persekitaran, bermakna membuka peluang untuk musuh kembali mengumpul kekuatan. Realitinya musuh perlu dipastikan tidak lagi mempunyai kekuatan untuk membuat serangan balas yang boleh merosakkan kemenangan
yang diperolehi.

Membiarkan musuh hidup, hakikatnya satu malapetaka dalam usaha untuk mempertahankan kemenangan.

Berdasasrkan hakikat inilah, Sun Tzu (545 BC-470 BC) menegaskan bahawa dalam sesuatu peperangan, bukan semata-mata mempunyai kesanggupan dan keyakinan untuk berhadapan dengan musuh secara terbuka.

Sebaliknya juga perlu difahami bahwa pertempuran bersemuka, bukannya merupakan satu-satu peluang untuk mencapai kemenangan, sekiranya musuh masih mempunyai benteng pertahanan yang kuat dan padu.

Rahsia kekuatan musuh adalah kesetiaan terhadap pasukan tanpa kompromi serta kepatuhan terhadap pemimpin pasukan.

Lantaran itu adalah menjadi kewajipan untuk menarik kesetiaan pengikut daripada pusat kepimpinan, situasi ini akan memudahkan usaha untuk mewujudkan kekacauan serta mematikan langkah musuh dengan menarik kesetiaan pengikut kepada jaminan peluang kehidupan yang lebih baik.

Tindakan ini secara tidak langsung akan menjadikan moral pengikut semakin lemah, memandangkan mereka telah kehilangan fokus kesetiaan.

Peluang ini tentunya lebih terbuka untuk menewaskan musuh. Apa yang ditegaskan oleh Sun Tzu ini merupakan satu usaha untuk mematikan pergerakan psikologi musuh dengan melemahkan moral serta semangat para pengikut, melarikan fokus kesetiaan mereka terhadap kepimpinan pasukan.

Pada masa yang sama menimbulkan secara berterusan akan keraguan terhadap kemamapuan sebenar keupayaan daya tempur mereka. Keadaan ini tentu menjadi makanisme yang lebih mudah untuk musuh ditewaskan.

Dalam setiap peperangan, sama ada pertempuran terbuka, mahu pun pertempuran gerila, begitu berkait dengan benteng pertahanan. Benteng pertahanan menjadi penentu kepada kekuatan musuh serta penghalang utama kepada bentuk kaedah serangan yang akan
dilakukan.

Kekuatan benteng pertahanan musuh, memerlukan tindakan berani untuk melancarkan serangan, namun serangan tanpa aspek taktikal yang ampuh akan menjadi medan “bunuh diri” buat anggota pasukan yang menggempur musuh.

Berdasarkan hakikat ini, maka benteng pertahanan musuh perlu dimusnahkan, kesetiaan musuh perlu dirosakkan, langkah terbaik dalam aspek ini adalah melemahkan musuh daripada sisi dalaman musuh itu sendiri.

Serangan daripada luar akan lebih mendatang kemudaratan kepada diri sendiri atau pasukan, maka adalah menjadi satu keperluan untuk melemahkan musuh dengan mencitpta musuh daripada dalaman pasukan musuh itu sendiri.

Lantas Sun Tzu mencadangkan “jadikan tuan rumah dan tetamu bertukar tempat.” Aspek taktikalnya, mengikut Sun Tzu, “kalahkan musuh dari dalam pasukan musuh itu sendiri dengan menyusup ke dalam benteng lawan berasaskan muslihat kerjasama, penyerahan diri, atau perjanjian damai.

Dengan kaedah ini, maka kelemahan lawan akan senang untuk ditemui. Lantaran itu kemudiannya saat pasukan musuh sedang leka, maka lancarkan serang secara langsung ke kubu pertahanan musuh.”

Berdasarkan pemikiran Sun Tzu, kekuatan musuh boleh dihancurkan serta dimusnahkan dengan begitu mudah, hanya menggunakan unsur dalaman musuh itu sendiri, hakikatnya musuh tidak akan menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang diserang dan dalam proses untuk dimusnahkan.

Menggunakan unsur sumber dalaman musuh sebagai tindakan untuk mencapai matlamat, hakikatnya merupakan satu usaha berkesan untuk meminimumkan kerugian sebaliknya membesarkan keuntungan serta menjimatkan penggunaan tenaga untuk bertempur.

Keadaan ini akan membolehkan segala sumber dan tenaga digunakan sepenuhnya untuk mengawasi serta melemahkan musuh setelah kemenangan mutlak diperolehi.

Penggunaan sumber dalaman musuh akan lebih memudahkan usaha untuk memecahkan pertahanan musuh. Apa yang peting pastikan musuh hilang kepercayaan sesama sendiri, keadaan ini hanya boleh dilakukan dengan mewujudkan kerengganan hubungan antara
kumpulan musuh.

Berdasarkan hakikat ini biarkan musuh sentiasa berada dalam keadaan berkonflik dan jangan biarkan musuh mempunyai peluang untuk mengurus konflik tersebut.

Sebaiknya wujudkan gerakan agar musuh menghabiskan masa untuk berkonflik sesama sendiri, realiti ini merupakan sesuatu yang ampuh dalam usaha untuk menjadikan musuh berada dalam keadaan terbeban dengan pertentangan dalaman sehingga musuh tidak lagi
mampu memberikan fokus dalam menentu tindakan untuk memperkukuhkan benteng pertahanan.

Apa yang jelas musuh perlu dipecahkan dengan mewujudkan kecurigaan sesama sendiri. Biarkan musuh bertelagah sesama sendiri. Gunakan musuh untuk membunuh musuh.

Wujudkan konflik sesama musuh dan lancarkan serangan daripada luar, matikan pergerakan musuh sehingga musuh keluar daripada medan tempur. Musnahkan segala peralatan musuh dan lumpuhkan kekuatan musuh sehingga musuh hilang peluang untuk bergabung, kuasai segenap ruang sehingga musuh dilemahkan dan tiada mempunyai keupayaan untuk bangkit.

Realitinya, peperangan melibatkan proses pembuatan keputusan dalam menentukan pilihan, apa pun keadaannya membuat piihan akan menentukan situasi sama ada anda dikuasai atau anda menguasai, hanya terdapat dua pilihan dalam mengendalikan peperangan memusnahkan musuh atau anda dimusnahkan oleh musuh.

Begitu juga dalam politik, hanya terdapat dua pilihan dalam konteks pertempuran politik, sama ada kehilangan kuasa atau anda terus melebarkan kuasa, sama ada anda musnahkan musuh politik anda atau anda dimusnahkan.

* Penulis adalah pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan