Jika masih ada pengkhianat, sila keluar - Anwar

Malaysiakini
Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menggesa Pakatan Harapan (PH) untuk terus bersama membina kekuatan, tidak mengalah atau mengorbankan prinsip mereka.

Pada masa sama beliau turut memberi amaran kepada kumpulan "pengkhianat" agar bertindak meninggalkan gabungan itu.

Kata Anwar, walau ppa yang berlaku, PH akan terus kekal bersama dan membina kekuatan.

"Usah kita panik, namun harus pulihkan semangat.

"Kita mesti kukuh dan bergerak sebagai satu angkatan dan terangkan kepada rakyat berkenaan sanggahan pasukan pengkhianat.

"Jangan mengalah dan korbankan prinsip," katanya melalui hantaran di Facebook sebentar tadi.

Ahli parlimen Port Dickson itu juga memberi amaran kepada anggota PH parti yang masih menyebelahi kumpulan Azmin Ali agar meninggalkan gabungan itu segera.

"Jangan kita biarkan episod pengkhianatan demokrasi ini berlaku lagi. Jika (masih) ada lagi pimpinan seperti ini, dipersilakan keluar," katanya.

Tergesa-gesa mahu jadi PM

Anwar berkata dalam himpunan bersama pemimpin PH semalam beliau memberi taklimat mengenai apa yang berlaku sepanjang konflik yang membawa kepada jatuhnya kerajaan PH.

Anwar sebelum ini dipersetujui untuk akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad hasil permuafakatan pemimpin Bersatu, PKR, Amanah dan DAP menjelang PRU ke-14 pada 2018.

Ketika Mahathir memberikan komitmennya untuk berundur selepas Nov tahun ini, Azmin berpakat dengan Muhyiddin serta Umno serta PAS bagi menggagalkan usaha PH menjadi kerajaan sehingga tempoh mandat yang diperoleh mereka tamat pada 2023.

Pakatan itu kemudian memunculkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Pada Ahad lalu, Anwar mempersoalkan tindakan pihak tertentu - termasuk Mahathir - yang terus-menerus mengkritiknya, manakala sesetengah pihak menyalahkan beliau kerana tergesa-gesa untuk memegang jawatan perdana menteri.

"Saudara tahu perjanjian (peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar) dibuat pada 2018. Sudah tandatangan semua. Ia tak ditunaikan (tetapi) saya tak bantah, terus sabar.

"Ada kawan cadang kalau boleh saya (dilantik) timbalan perdana menteri. (Mahathir jawab) Tak boleh. Tak apa kita teruskan.

"Nak kutuk saya lagi buat apa?" kata Anwar ketika mengimbas kembali keruntuhan kerajaan PH dan apa yang berlaku selepas itu, dalam satu majlis di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Dalam satu majlis di Kedah minggu lepas, Mahathir dilaporkan berkata jika PH mencalonkannya sebagai perdana menteri dan bukannya Anwar, beliau akan memiliki cukup sokongan anggota parlimen.

"Mereka menamakan Anwar sebagai calon mereka dan kerana ini saya kalah. Saya tidak boleh mendapatkan majoriti. Anwar juga tidak mendapat majoriti," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan