Hadi: Undi tak percaya PM bermakna tak percaya pada Agong
PAS menyifatkan langkah pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk membuat usul undi tidak percaya berhubung pelantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai tidak percaya kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menyelesaikan isu berkenaan secara demokratik.
"Syukur pada Allah SWT dan terima kasih pada rakyat yang telah menghadapi dengan tenang dengan damai dan aman dan kepadaYang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang telah selesaikan secara demokratik.
"Walaupun Tuanku tak terbabit politik, tetapi bila menghadapi masalah politik mestilah mengambil saluran yang betul mengikut perlembagaan.
"Mereka yang nak buat undi tak percaya (pada perdana menteri), tidak percaya pada Tuanku, tak percaya pada Yang di-Pertuan Agong, terpulang rakyat untuk menilai mereka," katanya dalam satu sidang media khas di Rusila, Terengganu, hari ini.
Pada 29 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri yang baru.
Ia selepas kemelut politik yang menyaksikan Bersatu dan sekumpulan ahli parlimen dari PKR meninggalkan PH yang membawa kepada tumbangnya gabungan itu.
Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu dan membentu kerajaan Perikatan Nasional bersama BN, PAS dan GPS serta wakil rakyat bebas.
Bagaimanapun, jumlah pecahan sokongan sebenar 222 ahli parlimen masih dipersoalkan.
Selepas Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata PH akan membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri pada sesi parlimen akan datang.
Sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung 9 Mac ini, ditunda kepada 18 Mei depan.
Dalam pada itu, Hadi berkata PAS konsisten mahukan barisan menteri Kabinet yang bersih dilantik dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Bagaimanapun kata anggota Parlimen Marang itu, parti itu menghormati perbicaraan di mahkmah yang sedang dihadapi oleh pemimpin gabungan Perikatan Nasional.
PAS juga katanya tidak mahu rakan gabungan dari Sabah, Sarawak serta bukan Islam terpinggir dalam pembentukan kabinet oleh Muhyiddin.
"Seperti saya buat kenyataan awal yang disiarkan awal oleh media dan pendirian ketika bertemu perdana menteri semalam, PAS konsisten mahu kabinet yang bersih, profesional.
"Kita berlaku adil dalam semua ini dan saya tak mahu lempar tuduhan orang itu tak boleh, orang ini tak boleh sebelum keputusan mahkamah.
"Mengikut kehakiman Islam, kehakiman barat, orang yang dituduh belum terbukti bersalah selagi mahkamah tak jatuhkan hukuman bersalah," katanya lagi.
Pada 3 Mac lalu, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob yang juga Ketua Dewan Ulama PAS berharap pembentukan kabinet oleh Perdana Menteri tidak melibatkan mereka yang terpalit dengan isu atau kes rasuah.
Ia kemudiannya disusuli dengan kenyataan Hadi yang menyarankan kumpulan profesional dilibatkan untuk membantu kerajaan.
Jelasnya golongan itu diperlukan untuk meningkatkan tahap ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan