Lanjutkan PKP lagi 1 atau 2 minggu? MKN akan putuskan pada 30 Mac

Ramieza Wahid

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Majlis Keselamatan Negara bakal bersidang sebelum 30 Mac ini bagi menentukan sama ada kawalan pergerakan (PKP) akan disambung.

“Kita hendak lanjutkan ini, kita kena teliti, kalau sudah ada tambah baik dengan tindakan yang diambil KKM dan bantuan dari agensi lain, kerjasama kumpulan Tabligh (hadir buat pemeriksaan kesihatan dan kalau data dan angka (kes positif Covid-19) lebih rendah.

“[…] sebelum 30 Mac Majlis Keselamatan Negara akan sidang untuk melihat adakah perintah itu memadai ataupun kita lanjut seminggu atau dua minggu itu kita akan kaji dan maklumkan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Untuk rekod, kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 30 Mac ini bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan perintah – yang dikuat kuasa- itu sehingga kini memperlihat perkembangan yang positif.

“Perintah yang kita buat 18 Mac bertambah baik, maklumat yang saya terima di lapangan iaitu hampir 90 peratus (rakyat ikut perintah) namun masih dapat yang tak patuh.

“Jadi kalau boleh, kalau ada pergerakan itu kita kurangkan secara paras minima, yang sudah kita maklumkan hanya boleh keluar untuk tujuan beli barang atau pergi farmasi dan kemudian pulang ke kediaman masing-masing,” katanya lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan bahawa terdapat 123 kes positif Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan 1,306 kes.

Satu kematian baru hari ini turut menjadikan jumlah korban akibat wabak itu di Malaysia sebanyak 11 orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan