Masih ada sangkaan baik buat Muhyiddin?

AHMAD LUTFI OTHMAN
Marah. Terkejut. Dikhianati. Pelbagai rasa bercampur-baur bila kerajaan PH tumbang susulan Bersatu keluar Pakatan Harapan, geng Azmin Ali dalam PKR bersekutu dengan BN-Pas dan Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri secara tiba-tiba tanpa berunding dengan rakan-rakan Kabinet.

Seterusnya kita menyaksikan mandat rakyat yang bertindak berani menumbangkan BN pada PRU14 hanya jadi bahan dagangan tawar-menawar demi kepentingan diri dan mengisi tembolok masing-masing.

Hingga akhirnya pemilihan Muhyiddin Yassin oleh Yang di-Pertuan Agong pun dipersoalkan ketelusannya. PH mendakwa mempunyai cukup bilang dan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Proses serta kaedah membilang sokongan wakil rakyat dipertikai dan ada risiko terdedah kepada manipulasi. Mungkin juga sokongan bertambah kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri datang lewat selepas Agong sudah membuat keputusan. Baginda bertindak berdasarkan maklumat di atas mejanya ketika itu.

Bagaimanapun, seperti diduga, sidang Dewan Rakyat sendiri ditangguhkan lebih dua bulan atas arahan perdana menteri, mungkin bagi memberi ruang masa untuk “membeli” sokongan. Ya, masa dilihat memihak Muhyiddin. Kes di Dun Johor boleh dijadikan rujukan.

Tanpa pengesahan rasmi Parlimen, wibawa Muhyiddin jelas tempang. Dunia dan masyarakat antarabangsa memandang sinis perkembangan ini; Kudeta Tanpa Darah.

Secara peribadi, meskipun cukup kecewa dengan langkah Muhyiddin, saya tidak mahu untuk turut menyebut hal-hal buruk mengenainya, terutama cerita masa silam. Setiap orang ada sisi negatifnya, ada salah-silapnya.

Muhyiddin mencipta imej positif bila bangkit menentang Najib Razak dalam skandal mega 1MDB. Rela mempertaruh kedudukan istimewa sebagai TPM. Ada pihak mendakwa Muhyiddin terlibat dalam usaha untuk mendakwa Najib di mahkamah demi kepentingan politiknya waktu itu. Jika Najib terpaksa mengosongkan jawatan PM, tentulah Muhyiddin sebagai penggantinya. Tapi Najib bertindak nekad, termasuk membuang Peguam Negara yang dikatakan sudah merangka pertuduhan jenayah terhadapnya.

Bagi saya, apa pun motif Muhyiddin mendedahkan korupsi Najib, ia masih langkah berani dan terpuji. Sekurang-kurangnya membantu memperkukuh momentum gerakan menjatuhkan kerajaan kleptokrasi di kala itu. Juga melebarkan wilayah sokongan di luar kawasan tradisi pembangkang.

Saya sebenarnya pernah membayangkan Muhyiddin adalah calon PM Pakatan Harapan, sebelum nama Mahathir dicalonkan secara rasmi. Pengalaman memihak kepadanya. Juga tiada rekod keji yang menjolok mata. Mungkin personalitinya tidak kelihatan sekuat Mahathir dan Anwar, tetapi siapa lagi pilihan selain Muhyiddin, semasa Anwar dipenjarakan dan Mahathir dilihat terlalu lanjut usianya.

Nama Muhyiddin kemudian timbul kembali dalam kotak fikiran saya selepas menyedari pertembungan tajam di antara kem Mahathir-Anwar dalam proses peralihan kuasa yang rumit itu. Bagi saya perlu ada kompromi atau jalan tengah yang lebih harmonis. Saya cukup tidak selesa dengan perdebatan terbuka polemik ini.

Walaupun Anwar dan Mahathir sendiri seperti boleh bertolak-ansur tetapi kumpulan masing-masing kadang-kadang macam sudah mengisytiharkan perang terbuka. PH nampak semakin dilemahkan dalam keadaan kritikan ke atas pentadbiran PH bertambah hebat, khususnya serangan pembangkang yang dibungkus sentimen keagamaan-perkauman.

Peralihan perdana menteri sesama Umno tidak sangat menimbulkan masalah tapi kali ini kita diuji dengan transisi membabitkan parti berbeda, Bersatu dan PKR. Dua parti ini dalam diam sedang bertarung untuk menjadi parti paling berpengaruh dalam PH.

Saya dapat faham keresahan ahli-ahli Bersatu — parti yang muda, belum berkuku dan mempunyai wakil rakyat yang kecil — tentang masa depan parti itu selepas Mahathir bukan lagi perdana menteri. Dalam sistem dan tradisi kita jawatan perdana menteri datang bersama senarai kuasa, pengaruh dan keistimewaan yang melimpah ruah. (Dan senarai panjang ini sepatutnya dicantas dan diagihkan selaras agenda reformasi yang diperjuangkan).

Saya teringat pidato Mahathir di Langkawi, pada malam hari mengundi PRU14, iaitu mahu membentuk kerajaan yang “terbatas kuasanya”. Kuasa di tangan seorang individu yang melampau boleh menjerumus ke gaung kebinasaan.

Namun nama Muhyiddin tenggelam apabila kesihatannya dikatakan merosot teruk sehingga banyak tugasan di KDN pun agak terabai. Kanser yang ditanggungnya cukup serius.

BERSAMBUNG….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan