Muhyiddin ibarat tunggang harimau - Tun Mahathir

Malaysiakini
Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekarang perlu menangani penyokong yang terkenal dengan reputasi enggan bertolak ansur.

Dr Mahathir memberi perumpamaan keadaan itu ibarat "Muhyiddin sedang menunggang harimau."

"Jika dia turun, mungkin dia akan dimakan, jadi dia perlu terus menunggangnya tanpa mengambil kira walaupun keadaan sangat tidak selesa," kata beliau, lapor media tempatan.

Dr Mahathir juga dipetik The Sun berkata terdapat cadangan supaya Pendaftar Pertubuhan mengharamkan Umno kerana pelanggaran peraturan tetapi Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri kerajaan PH ketika itu membantah syor tersebut.

MP Langkawi menyalahkan keruntuhan kerajaan PH kerana Muhyiddin "tidak sabar" mahu menjadi perdana menteri dan PH "berdolak-dalik" tiada kata putus untuk menyokongnya sewaktu tempoh kemelut politik yang dicetuskan Langkah Sheraton - gerakan politik yang menyasarkan untuk menumbangkan kerajaan PH.

Terdahulu hari ini, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata beliau hanya akan mempertimbangkan bertemu dengan Muhyiddin jika perdana menteri kelapan 'membuang orang Umno yang dituduh rasuah' terlebih dahulu.

"Saya tidak tengok apa sebab nak jumpa melainkan dia sanggup buang orang itu (pemimpin Umno yang terpalit dakwaan rasuah) semua, maka mungkin boleh jumpa.

"Itu pun saya akan timbang dahulu," kata beliau, lapor The Malaysian Insight.

Sebelum itu, Anggota MT Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Muhyiddin telah mengutus surat kepada Dr Mahathirbagi mengatur pertemuan antara dua pemimpin ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan