Pakej rangsangan RM250 bilion, apa maksudnya

PANDUAN KINI | Kerajaan persekutuan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi berdepan kemelesetan ekonomi disebabkan wabak Covid-19.

Wabak tersebut menyebabkan perintah kawalan pergerakan yang mengehadkan pergerakan rakyat di rumah dan menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan nilai pakej rangsangan berjumlah RM250 bilion, yang merangkumi pakej RM20 bilion yang telah diumumkan oleh pendulunya, Dr Mahathir Mohamad pada 27 Feb.

Panduankini meneliti dari sudut pandangan makro berhubung pakej rangsangan berkenaan dan bagaimana ia akan dibiayai.

Adakah ini bermakna kerajaan membelanjakan RM250 bilion?

Tidak. Itu merupakan saiz pakej rangsangan, antara lain termasuk pinjaman, penangguhan bayaran pinjaman dan pengecualian sewa dan bukan hanya pemberian wang tunai.

Pemberian wang tunai, pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), penangguhan bayaran pinjaman dan wang simpanan individu dan perniagaan diharap akan dibelanjakan bagi mengatasi kelembapan ekonomi.

Idea ini adalah untuk mewujudkan kesan berganda bagi meningkatkan kepenggunaan dan perbelanjaan pengguna.

Sebagai contoh, seorang juruteknik kilang dalam industri tidak penting yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji boleh membelanjakan pemberian wang tunai di kedai runcit.

Ini seterusnya menaikkan modal untuk peruncit membuat pembelian daripada pemborong yang perlu pula mendapatkan bahan dari kilang, manakala kilang pula memerlukan sumber bahan mentah daripada pembekal.

Unjuran perbelanjaan kerajaan pada 2020 adalah RM297 bilion. Adakah pakej rangsangan ini akan meluaskan defisit?

Mungkin. Diharapkan penurunan dalam pendapatan kerajaan (cukai, premium tanah dan cukai tak langsung dan lain-lain) bagi tahun 2020 tidak terlalu teruk.

Berapa banyak sebenarnya dibelanjakan kerajaan?

Menurut Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, suntikan fiskal langsung adalah sebanyak RM25 bilion. Ini termasuk pakej rangsangan yang diumumkan oleh perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad pada 28 Feb.

Apa itu "suntikan fiskal langsung"?

Perkataan yang digunakan untuk menggantikan 'wang tunai' daripada kerajaan.

Ini termasuk subsidi gaji, pemberian wang tunai secara one-off, insentif untuk petugas kesihatan di barisan hadapan dan pemberian kepada pemandu e-hailing.

Bagaimana besar pakej rangsangan ini berbanding KDNK?

Bergantung. Jawapan ini adalah berdasarkan kepada pengiraan Jabatan Perangkaan bahawa KDNK bagi 2019 adalah RM1.51 trilion.

Ini bermakna pakej rangsangan keseluruhan mempunyai potensi untuk mencapai 16.5 peratus daripada KDNK.

Tetapi sekali lagi, tidak semua pinjaman yang ditawarkan akan diambil dan bukan semua orang akan mengeluarkan wang daripada KWSP.

Suntikan fiskal juga tidak membantu ekonomi jika penerima wang tunai menyimpan dan tidak melakukan perbelanjaan.

Jika hanya bahagian suntikan fiskal, maka ia adalah 1.65 peratus daripada KDNK.

Jadi di mana kerajaan akan dapatkan RM25 bilion ini?

Ucapan Muhyiddin tidak menyatakan secara khusus, tetapi beliau memberikan beberapa petunjuk.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan ruang fiskal dan tidak akan meminjam untuk operasi.

Beliau berkata, kerajaan perlu menjalani pengukuhan fiskal (baca: pemotongan perbelanjaan) dalam jangka sederhana hingga mewujudkan ruang fiskal dalam jangka panjang.

Muhyiddin juga mendedahkan bahawa beliau telah mengarahkan semua kementerian mengkaji semula perbelanjaan mereka untuk mencari cara-cara bagi menjimatkan wang dalam jangka sederhana.

Biasanya, kerajaan akan mengambil jalan dengan cara mengeluarkan bon. Butir-butir terbitan bon kerajaan boleh dilihat di laman web Bank Negara.

Selain itu, kerajaan boleh kembali kepada amalan pinjaman di luar imbangan duga untuk mematuhi had undang-undang atau menjual aset seperti tanah, selain menggunakan wang Petronas.

Adakah PM perlu mendapat kelulusan daripada parlimen?

Menurut Perkara 101 Perlembagaan Persekutuan, ya. Dari segi amalan, kerajaan membelanjakan dahulu sebelum membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan kemudiannya.

Singapura memutuskan agar pakej rangsangan dibahaskan di parlimen terlebih dahulu dan perbahasan sedang berjalan. Begitu juga, pakej rangsangan AS diluluskan oleh dewan perwakilan dan sedang menunggu kelulusan senat.

Pemimpin Harapan Pakatan, Anwar Ibrahim yang menyambut baik pakej rangsangan diumumkan Muhyiddin semalam berkata, ia sepatutnya dibahaskan di parlimen terlebih dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan