HASSAN ABDUL KARIM
Saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang, pertama-tama ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah berjaya membentangkan Pakej terbaru rangsangan ekonomi prihatin yang bersifat peduli rakyat pada hari semalam 27 Mac 2070 dengan jumlah peruntukan keseluruhannya yang besar sebanyak RM250 bilion.
Saya menyokong pakej terbaru tersebut atas dasar keperluan untuk menolong semua lapisan rakyat yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang akan dipanjangkan sehingga 14 April 2020.
Usaha Kerajaan memperuntukan RM10 bilion untuk memastikan antara lainnya supaya rakyat tidak kelaparan, sektor perindustrian tidak bangkrap dan para pekerja tidak dibuang kerja serta rakyat golongan M40 dan B40 semuanya terbela adalah patut dipuji.
Sebagai seorang ahli parlimen dari parti pembangkang sekarang ini akibat daripada pertukaraan kerajaan mulai 1 Mac 2020 lalu, saya berpendapat pada masa sekarang ini, persoalan politik partisan boleh diketepikan dahulu dan semua tenaga digembleng untuk melawan ancaman wabak penyakit Covid-19 yang telah meragut 26 nyawa rakyat Malaysia setakat hari ini 28 Mac 2020.
Justeru itu saya merayu kepada YAB Perdana Menteri melakukan seperti apa yang dilakukan di Dewan Senate di Amerika Syarikat di mana Pakej Rangsangan Ekonomi mereka yang melibatkan jumlah lebih USD2 trilion telah dibentang dan diluluskan oleh Dewan Senate dengan sokongan kedua-dua parti Republikan yang memerintah dan Parti Demokrat yang pembangkang. Demi negara dan rakyat mereka kedua-dua pihak mengetepikan politik partisan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan hidup negara mereka. Saya berharap hal yang sama dapat dipraktikan di Malaysia sekarang ini.
Sebagai seorang ahli parlimen saya perlu membangkitkan soal berikut ini untuk mendapat jawapan dari YAB Perdana Menteri. Dari punca kuasa mana kerajaan yang ada sekarang boleh membelanjakan wang yang sebegitu banyak melalui pakej rangsangan ini? Setiap perbelanjaan kewangan oleh kerajaan mesti diluluskan oleh Parlimen. Parlimen sekarang tidak bersidang. Jumlah Pakej rangsangan ini amat tinggi sama banyak dengan belanjawan tahunan negara. Siapa yang luluskan? Adakah Kabinet ada kuasa untuk meluluskan wang sebanyak itu untuk dibelanjakan mulai April ini?
Saya tidak menafikan keperluan untuk menyelamatkan rakyat dan negara dalam masa yang kritikal dan krisis kesihatan yang meragut nyawa. Kita berada dalam keadaan hidup dan mati. Lebih 30 juta rakyat negara ini perlu diselamatkan. Ekonomi negara kita juga perlu diselamatkan. Sektor industri, kilang-kilang dan jaringan ekonomi negara perlu diselamatkan. Ini matlamat dan tujuan kita. Caranya ialah dengan kerajaan memperuntukkan dana bagi mencapat matlamat tersebut. Persoalan yang ingin saya timbulkan di sini ialah dari segi perundangan.
Kerajaan mesti telus. Ini wang awam. Wang negara. Wang rakyat. Dalam peruntukan belanjawan tahun 2020 yang telah diluluskan pada 5 Disember 2019 yang lalu peruntukan khas untuk perbelanjaan luar jangka dan bencana telah diluluskan oleh Parlimen. Tetapi jumlahnya tidak banyak.
Saya ingin tanya RM250 bilion ini datang dari mana? Untuk menampung Belanjawan tahun 2020 Kerajaan terpaksa berhutang dan mendapat bantuan dari Petronas dalam bentuk dividen khas.
Seingat saya negara mempunyai Simpanan Rezab sebanyak lebih RM400 bilion. Simpanan Rizab negara ini tidak boleh digunakan dengan sesuka hati. Kerajaan tidak boleh menyentuh simpanan rizab negara itu tanpa kelulusan dari Parlimen.
Perlu saya menarik perhatian bahawa kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri Muhyiddin Yasin belum sampai sebulan dibentuk dan belum lagi menghadapi proses semakan parlimen.Keesahan dan keabsahan kerajaan sekarang masih tanda tanya. Kerajaan yang berada dalam situasi seperti ini tidak boleh sewenang-wenang menggunakan wangnegara. Saya tahu ada orang percaya ”Cash is King”. Saya berharap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengulangi kesilapan Perdana Menteri keenam lalu dalam usaha untuk mendapatkan simpati dan sokongan rakyat. Wang negara perlu digunakan dengan cermat dan hati-hati.
* Hassan Abdul Karim adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan