PKR cari satu persatu pengkhianat parti, kata Fahmi Fadzil

Adam Abu Bakar
PETALING JAYA:
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberi amaran kepada mana-mana pemimpin dan ahlinya bahawa parti itu akan mencari satu persatu mereka yang berniat atau bertindak mengkhianati parti, susulan tindakan beberapa bekas pemimpin yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Fahmi berkata, ketika ini PKR sedang melakukan proses pemutihan dan mana-mana individu yang dianggap mengkhianati perjuangan parti akan diambil tindakan mengikut peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Semua yang mengkhianat, buat masalah dalam parti kita akan disiplinkan dan kita sudah mulakan. Sejumlah ahli yang didapati mengkhianat atau mengumumkan keluar dari parti, menyerang parti, melompat bersama, semuanya sudah disingkirkan. Kita adakan proses pemutihan.

“Pada semua yang berniat, anggaplah ini satu amaran, duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut kami akan cari satu persatu.

“Kami akan uruskan ada dengan langkah yang betul mengikut peruntukan parti,” katanya dalam bual bicara ‘Never Despair: Finding Hope & Rebuilding Malaysia’.

Terdahulu, PKR menerusi Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan berkata, seramai 27 ahli PKR dipecat dan keluar dari parti sejak PH tidak lagi mentadbir Putrajaya. Manakala, 4 lagi ahli dalam proses untuk disingkirkan.

Jumlah itu termasuk bekas timbalan presiden, Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin yang dipecat selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti pada 24 Feb lalu serta 2 lagi ahli yang dipecat pada 1 Mac.

Selain Azmin dan Zuraida, turut disenaraikan adalah senarai 9 lagi ahli Parlimen yang mengikut jejak ahli Parlimen Gombak itu untuk memberikan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8.

Mereka bertindak mengikut jejak Azmin yang kini diterima sebagai ahli PPBM, manakala Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian pula memilih untuk menjadi ahli Parlimen bebas selepas mengumumkan menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada saat akhir.

Turut berada dalam senarai berkenaan adalah bekas timbalan ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham yang juga setiausaha politik Azmin, selain Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan