Tentera akan dikerah mulai Ahad

Malaysiakini
Pihak tentera akan dipanggil bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau keadaan susulan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri.

"Mesyuarat hari ini memutuskan supaya pihak tentera membantu pihak polis di dalam memantau keadaan yang berlaku hari ini terutama untuk pastikan pematuhan rakyat kepada arahan supaya rakyat berada dalam rumah masing-masing.

"Tentera akan mula digerakkan pada hari Ahad ini, jadi kita yakin bantuan dari pihak tentera kawalan akan lebih lagi dapat dilaksanakan. Kita berharap rakyat akan terus patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau, kerajaan yakin dengan bantuan tentera, tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan akan lebih tinggi.

"Kita berharap rakyat terus patuh arahan tentera. Dari laporan pihak polis, jelas nampak ada peningkatan dari segi pematuhan rakyat. Kita ucap terima kasih kepada rakyat.

"Bagaimanapun, masih terdapat insiden ramai tidak mempedulikan arahan pihak kerajaan dan arahan polis. Pada peringkat awal ini, kita hanya nasihat dan tindakan berhemah dilakukan.

Kalau akhirnya sampai tahap tidak boleh kompromi, maka tindakan undang-undang akan digunakan," katanya.

Namun, menurut Ismail Sabri, pembabitan tentera itu bukanlah satu perintah darurat sambil menafikan penyebaran berita kononnya beliau akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya perintah darurat dilaksanakan.

"Semalam pelbagai berita palsu diedarkan. Ini lebih menambah banyak panik dalam kalangan rakyat. Ada sampai audio, 'posting' dalam Facebook yang mengatakan menteri ertahanan akan umumkan perintah darurat selepas dapat perkenan Agong.

"Saya tidak tahu menteri pertahanan mana. Tiada dalam perancangan untuk perintah darurat. Malah kononnya aset tentera sudah digerakkan untuk perintah darurat pun tidak betul. Jadi, saya nasihatkan rakyat jangan mudah percaya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan