TIGA KESILAPAN MUHYIDDIN DALAM ISU PEMECATAN MARZUKI

Shahbudin Husin
Selaku Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sekurang-kurangnya melakukan tiga kesilapan apabila beliau mengambil keputusan memecat Setiausaha Agung parti itu, Marzuki Yahya melalui sepucuk surat pada 18 Mac lalu.

Pertama, Muhyiddin tidak membaca dan seolah-olah tidak faham dengan Perlembagaan parti di mana beliau sendiri menjadi Presidennya.

Dalam Perlembagaan Bersatu, walaupun kuasa melantik Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan diperuntukkan kepada Presiden, tetapi ia juga menyebut perkara itu tertakluk dengan syarat “selepas berunding dengan Pengerusi parti” terlebih dahulu.

Oleh kerana perlembagaan itu tidak menyebut dengan jelas kaedah untuk memecat pegawai-pegawai terbabit, maka kaedah yang sama seperti melantik digunapakai untuk memberhentikan mereka.

Dalam hal ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh surat balas Tun Mahathir kepada Muhyiddin, beliau tidak pernah dirunding sama sekali berhubung pemecatan Marzuki itu.

Meskipun Tun Mahathir sedang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dan hasrat untuk bertemu dengan Pengerusi Bersatu itu ditolak sebelum ini, tetapi Muhyiddin sebenarnya masih boleh menulis surat berhubung hasrat atau keperluan memberhentikan Marzuki selaku Setiausaha Agung.

Asas paling kuat untuk memberhentikan Marzuki ialah kerana beliau bakal bertanding sebagai Timbalan Presiden dalam pemilihan akan datang dan keberadaannya sebagai Setiausaha Agung tentu saja tidak lagi sesuai kerana kemungkinan sangat terbuka beliau akan menyalahgunakan kedudukan itu sebagai kelebihan untuk berkempen dan mendapatkan undi.

Selain itu, dengan menawarkan diri bertanding juga Marzuki mungkin tidak punya masa lagi untuk memberi keutamaan kepada parti.

Maka, Marzuki memang ada keperluan untuk ditukar dan digantikan dengan orang lain bagi mengurus perjalanan parti dengan lebih baik lagi.

Jika Muhyiddin menulis surat kepada Tun Mahathir menjelaskan perkara itu dengan baik, tidak ada sebab beliau tidak bersetuju dengannya.

Masalahnya, mungkin bersandarkan alasan bekas Perdana Menteri itu enggan berjumpa dengannya, maka Muhyiddin terus membuat keputusan memecat Marzuki tanpa sebarang perundingan dengan Tun Mahathir.

Kaedah berunding tidak semestinya dengan bersemuka, malah boleh juga secara bersurat atau cara-cara lain yang bersesuaian dengan keadaan.

Kedua, Muhyiddin tidak berhati-hati dan gopoh dalam bertindak sehingga sanggup melakukan pemecatan di ketika beliau selaku Perdana Menteri baru saja mengambil langkah mengumumkan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara sehingga 31 Mac kerana ancaman wabak Covid-19.

Dengan tindakan yang diambilnya terhadap Marzuki itu, Muhyiddin terlihat lebih ghairah menjaga kedudukan dan jawatan peribadinya berbanding menjaga kepentingan rakyat yang terkesan dengan wabak merbahaya dalam negara.

Sepatutnya, dalam tempoh kawalan pergerakan ini, tiada sebarang tindakan politik diambil oleh mana-mana pihak dan tunggulah selepas 31 Mac jika mahu memecat atau memberhentikan Marzuki itu.

Apa yang Muhyiddin perlu gopoh gapah sangat untuk melakukan pemecatan sedangkan Pendaftar Pertubuhan sudah mengumumkan tiada sebarang aktiviti atau perhimpunan parti, termasuk pemilihan pucuk pimpinan Bersatu, dibenar diadakan sebelum 30 Jun ini?

Ketiga, hasrat mahu melantik Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baru juga adalah suatu kesilapan paling besar buat Muhyiddin.

Sebagaimana semua sedia maklum, Hamzah adalah bekas Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti menyertai Bersatu sebaik saja BN hilang kuasa pada PRU14 lalu.

Sebaik menyertai Bersatu, beliau diperkatakan sebagai dalang utama untuk menggagalkan peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar, sehingga akhirnya perancangan berterusan beliau itu mengakibatkan Tun Mahathir sendiri hilang jawatannya dan Muhyiddin secara tak semena-mena dapat memintas laluan menuju puncak kuasa ke Bangunan Perdana Putra.

Dalam semua keadaan itu, selain kedudukan Hamzah yang baru dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, menjadikannya sebagai Setiausaha Agung Bersatu pula terlihat sangat tidak kena dan seolah-olah Muhyiddin telah memingkirkan pemimpin-pemimpin lain yang berjuang sejak bermulanya Bersatu ditubuhkan.

Apakah tidak ada pemimpin dalam Bersatu sendiri yang layak dijadikan Setiausaha Agung menggantikan Marzuki?

Tindakan lebih mengutamakan Hamzah yang dikenali sebagai pelompat parti berbanding sekian ramai pemimpin Bersatu yang setia sejak awal parti ditubuhkan, tidak mustahil akan digunakan oleh Tun Mahathir sebagai sentimen meraih undi menumbangkan Muhyiddin sebagai Presiden dalam pemilihan nanti.

Lebih buruk jika hasrat melantik Hamzah itu dijadikan hujah untuk kecenderungan Muhyiddin akhirnya membawa Bersatu bergabung dengan UMNO.

Kalaulah dalam hal ini Muhyiddin menulis surat kepada Tun Mahathir berhubung hasratnya untuk memberhentikan Marzuki, sambil itu menamakan beberapa pemimpin daripada Bersatu sendiri sebagai penggantinya, barangkali Tun Mahathir tidak ada masalah untuk menyetujuinya.

Tetapi, disebabkan Hamzah yang dicalonkan, tambahan lagi tiada sebarang inisiatif perundingan diambil dalam memberhentikan Marzuki selaku Setiausaha Agung, Muhyiddin seperti cuba mengejutkan Tun Mahathir yang sedang menjalani kuarantin peribadi di rumahnya untuk berbalah dan “berperang” dengannya.

Bergaduh, berbalah dan “berperang” adalah kesukaan Tun Mahathir, meskipun semakin ramai tidak setuju dengannya ketika ini.

Namun, apa yang Muhyiddin perlu sedar, beliau tidak boleh kalah jika benar-benar mahu berbalah dan “berperang” dengan Tun Mahathir kerana jika kalah, galang gantinya ialah jawatan Perdana Menteri yang baru saja nikmat manis dikecap olehnya.

Gagalnya Muhyiddin dalam isu perlantikan Setiausaha Agung ini, apalagi jika melarat sehingga dapat dikalahkan dalam mempertahankan jawatan Presidennya nanti, ia tentu saja akan menyebabkan keupayaan mempertahankan kedudukannya semakin lemah dan berkurangan. (ShahbudinHusin 21/03/2020)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan