Umno tak senang bayangan kabinet Muhyiddin?

Malaysiakini
Ketika ini dipercayai timbul spekulasi mengatakan Umno kurang senang dengan rancangan awal Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, membentuk kabinetnya selepas mengangkat sumpah baru-baru ini.

Hal itu dikesan selepas tular beberapa tulisan oleh inividu yang dekat dengan koridor kuasa dalam Umno sejak beberapa hari lalu, selain ciapan setiausaha agung parti itu, Annuar Musa, semalam.

Meskipun ia tidak dinyatakan secara jelas, kenyataan tersebut ditafsir membawa mesej tertentu bagi membayangkan rasa tidak puas hati kepemimpinan Umno.

Sumber memberitahu Malaysiakini, rasa kurang senang itu timbul daripada bayangan mengenai pelantikan jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kanan lain.

Katanya Umno kurang senang apabila nama bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

"Sedangkan di Dewan Rakyat sekarang, Umno ada kerusi yang paling banyak dan sepatutnya lebih layak serta berhak mengisi jawatan itu.

"Jika dari Umno pun yang nak dilantik, saya yakin orang itu bukanlah Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau tentu sedar sentimen rakyat ketika ini," kata sumber tersebut merujuk kepada lebih 50 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan presiden Umno itu yang sedang dibicarakan.

Gagal urus idealisme

Sumber itu memberitahu, hal itu yang menjadi pertikaian utama dan menimbulkan kurang senang dalam kalangan pemimpin Umno.

Isu pembentukan kabinet kini menjadi perhatian ramai selepas Muhyiddin secara rasmi dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan selepas seminggu kemelut politik kesan 'Langkah Sheraton' membabitkan Azmin dan beberapa pemimpin PKR.

Kemelut itu juga menyaksikan Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad berada dalam dua kem berbeza.

Antara 'bunga-bunga' yang menguatkan lagi sangkaan orang ramai kepada rasa tidak puas hati Umno itu ialah ciapan Annuar semalam.

"Satu dari punca kejatuhan PH ialah kegagalan mengurus antara idealisme peribadi perdana menteri dengan aspirasi parti dalam gabungan.

"Mereka terlupa kita bukan sebuah republik tapi kerajaan demokrasi ala Westminste. Dua sistem yang amat berbeza.

"Kita juga bukan sistem satu parti tapi gabungan lemah.

"Sekiranya tak di uruskan dengan baik, percayalah PN (Perikatan Nasional) akan memecahkan rekod PH sebagai kerajaan paling singkat!

"Apa-apa pergolakan kali ini bererti Parlimen wajib dibubarkan dan PRU mengejut wajib diadakan.

"Muafakat Nasional akan kita perkasakan dan kami tidak lalai dengan kuasa yang ada sekarang," katanya.
]
Muafakat Nasional ialah kerjasama rasmi yang menghubungkan PAS dan Umno, dan ia tidak melibatkan kem Muhyiddin dalam Bersatu.

Beberapa hantaran di media sosial juga membayangkan rasa tidak puas hati Umno.

Antaranya: "Kami dah hulur tangan, kalau sambut tak ikhlas kami semua tarik balik la. Mudah je sifir ni."

Kenyataan dibuat Muhyiddin dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri pada 2 Mac lalu juga kelihatan tidak disenangi sesetengah orang Umno apabila beliau menyebut mengenai perlunya melantik orang yang bersih serta berintegriti saja.

Tak perlu ada jawatan pun

Sementara itu, seorang lagi sumber memaklumkan kepada Malaysiakini, ucapan Muhyiddin itu seolah-olah memberi gambaran bahawa Umno sedang bermasalah.

Namun, katanya, rundingan dengan Muhyiddin setakat ini semuanya masih berjalan lancar.

"Saya yakin ia akan diselesaikan secara bijaksana di antara perdana menteri dan presiden (Ahmad Zahid), khususnya berhubung isu pembentukkan kabinet," katanya.

Sementara itu, Anggota Majis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah ketika dihubungi menafikan wujud rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin parti terbabit.

Jelas beliau semuanya kini berjalan lancar dan persepsi kurang elok itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu.

"Semuanya lancar, cuma persepsi (negatif) ditimbulkan, tiada masalah pun.

"Jadi biar perdana menteri buat keputusan kita hormat keputusannya," katanya kepada Malaysiakini.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, pula berkata parti itu tidak perlu berharap pada sebarang jawatan dalam kerajaan.

Bahkan katanya, Umno tidak perlu pun memegang sebarang jawatan dalam kabinet, sebaliknya memadai dengan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

"Pada pandangan saya Umno tidak perlu menerima sebarang jawatan dalam kerajaan baru ini dan memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan Muafakat Nasional.

"Apa pun sebarang keputusan hendaklah dibincang secara bersama dengan PAS," katanya.

Sementara itu bekas ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas (Jasa), Dr Puad Zarkashi berharap Muhyiddin tidak bertindak secara berpilih atau bermotif politik dalam melaksanakan tugasnya.

"Jangan nanti hanya mereka yang (sedang dibicarakan) sahaja yang menjadi fokus atau sasaran beliau, sedangkan mereka belum dibuktikan bersalah.

"Bagaimana dengan mereka yang ada skandal video dan melompat parti? Itu juga membabitkan soal integriti.

"Bahkan orang yang terselamat daripada pendakwaan kerana pandai corner baring juga tidak boleh terkecuali.

"Kalau mereka terpilih sebagai menteri, Muhyiddin akan dituduh tidak konsisten. Sebab itu Muhyiddin mesti tegas dan jangan retorik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan