M Fakhrull Halim
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi gagal menunjukkan surat jemputan daripada Jabatan Perdana Menteri (PMO) tentang pertemuan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Zahid berkata, surat tersebut tidak dapat dikeluarkan memandangkan setiausaha politik perdana menteri belum dilantik secara rasmi.
“Saya juga ingin menjelaskan bahawa perintah Yang Arif semalam tentang surat, saya telah berhubung dengan setiausaha politik berkenaan.
“Oleh kerana belum ada pelantikan secara rasmi dan belum angkat sumpah, maka surat yang meminta saya datang dan juga surat yang memperjelas pertemuan itu, tak dapat dikeluarkan oleh peagawai berkenaan,” katanya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Ia bertentangan dengan keterangan Zahid di mahkamah semalam, bahawa dia memang menerima surat daripada PMO untuk satu pertemuan dengan Muhyiddin semalam, bagi membincangkan soal pelantikan kabinet baru kerajaan.
Zahid kemudian memohon maaf terhadap mahkamah atas apa yang disifatkannya sebagai kekeliruan semalam.
“Secara terbuka saya memohon maaf atas kekeliruan dan salah faham yang timbul, dan saya tak berhasrat langsung untuk mengelirukan mahkamah ini.
"Saya amat menghormati Yang Arif dan mahkamah yang mulia. Sekali lagi saya memohon maaf atas kekeliruan," katanya.
Semalam, Sequerah memangil semula sebutan kes di sebelah petang untuk mendapatkan penjelasan Zahid, selepas membenarkan permohonan penangguhan oleh pembelaan di sebelah pagi.
Ia susulan JPM dalam kenyataan menafikan Muhyiddin mengadakan sebarang pertemuan politik semalam.
Sequerah juga meminta Ahmad Zahid menjeaskan perkara itu dan menunjukkan surat jemputan daripada JPM sebagai bukti pertemuan tersebut.
Timbalan DPP Raja Rozela Raja Toran kemudian menggesa mahkamah memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap tertuduh kerana didakwa “menipu, dan dengan sengaja memperdayakan mahkamah untuk mendapat cuti satu hari” daripada perbicaraannya.
Hakim: Tiada kes hina mahkamah
Sebelum permohonan maaf Zahid pagi ini, peguam bela Hisyam Teh Poh Teik sekali lagi berkata kekeliruan timbul ekoran "penggunaan kata yang silap" dan anak guamnya langsung tiada niat untuk mengelirukan mahkamah.
Hisyam berkata Zahid memang mengadakan pertemuan dengan setiausaha politik Muhyiddin.
Raja Rozela kemudian membangkitkan kegagalan Zahid untuk mengemukakan surat jemputan pada hari ini, sedangkan semalam berkata dia menerima surat tersebut.
Sequerah kemudian memutuskan tiada kes hina mahkamah dan setuju dengan hujah peguam bahawa terdapat "silap komunikasi" dan penggunaan kata yang mungkin menimbulkan salah faham.
"Saya juga menerima mungkin terdapat pemilihan perkataan yang silap dalam permohonan penangguhan (semalam) dan ini mungkin menyebabkan salah faham.
"Saya juga mengambil kira permohonan maaf tertuduh...dan tidak kurang penting (jaminan) peguam bahawa ini tak akan berlaku lagi.
"Saya dapati tiada kes menghina mahkamah," katanya lagi.
Bagaimanapun kata Sequerah, beliau tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan mengelirukan mahkamah, dan memberi amaran hukuman penjara atau denda boleh dikenakan terhadap sebarang cubaan sedemikian.
Zahid berdepan 47 tuduhan membabitkan 27 kes pengubahan wang haram, lapan kes rasuah dan 12 kes pecah amanah membabitkan wang Yayasan Akalbudi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan