AZMIN TINGGALKAN BERSATU, TUBUH PARTI BARU?

Shahbudin Husin
Bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang keahliannya dalam Bersatu masih kabur dan tidak begitu jelas, dijangka akan menubuhkan sebuah parti baru pelbagai kaum tidak lama lagi.

Parti baru itu adalah untuk menaungi perjuangan beliau bersama beberapa lagi bekas Ahli Parlimen dan pemimpin PKR yang sama ada dipecat atau telah meninggalkan parti itu.

Difahamkan, Azmin ada menyuarakan hasrat tentang menubuhkan parti baru itu kepada beberapa pihak yang rapat dengannya dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk merealisasikannya.

Difahamkan asas utama Azmin mahu menubuhkan parti baru pelbagai kaum itu ialah kerana wadah sebegitu lebih sesuai dengan jiwanya yang sudah sekian lama bersama PKR.

Berbanding Bersatu yang disertainya setelah dipecat daripada PKR, beliau hanya menyertai parti itu untuk mengukuhkan kedudukan Muhyiddin Yassin dalam usaha Presiden Bersatu itu merealisasikan cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Lagi pula, penyertaannya dalam Bersatu hanya diumumkan oleh Muhyiddin dan tidak pernah dibincangkan sama sekali dalam mesyuarat parti.

Dengan itu, keahliannya dalam Bersatu adalah kabur dan tidak jelas, walaupun diberikan tanggungjawab sebagai menteri kanan.

Tambahan lagi, dengan pertelingkahan yang dijangka berpanjangan dalam Bersatu antara Tun Mahathir Mohamad dengan Muhyiddin, Azmin juga merasakan tidak selesa untuk beliau terkait dengan perkara secara berterusan.

Lantaran itu, menubuhkan parti baru pelbagai kaum mirip PKR adalah pilihan yang wajar baginya untuk meneruskan perjuangan politik bersama kumpulan yang setia dengannya.

Asas lain yang mendorong Azmin mahu menubuhkan parti baru ialah ketidakyakinannya mampu terus mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang dipegangnya sekarang jika bertanding menggunakan tiket Bersatu.

Hakikat yang sama diperkukuhkan lagi billa mana kesemua Ahli Parlimen dalam kumpulannya seperti Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak) dan lain-lain semuanya menang pada PRU14 lalu di kerusi-kerusi campuran.

Parti pelbagai kaum itu juga bertujuan agar Ahli Parlimen daripada Sabah, Sarawak dan bukan Melayu yang bersamanya dan ada kedudukan dalam kerajaan sekarang mempunyai lebih kemusabahan meneruskan perjuangan berbanding jika berada dalam Bersatu.

Maka, untuk memastikan beliau dan kumpulannya terus berpotensi menang dalam PRU akan datang, Azmin diberitakan tidak ada pilihan lain selain meninggalkan Bersatu dan menubuhkan sebuah parti baru yang mirip PKR.

Seterusnya, Azmin turut merasakan hanya dengan menubuhkan parti baru saja menjadikan beliau mungkin mampu menarik rakan-rakannya dalam PKR untuk beralih wadah perjuangan dan menyertainya.

Difahamkan ada beberapa pemimpin PKR yang sebelum ini lantang menolak Anwar Ibrahim, terutama bukan Melayu, tetapi kemudian membuat U-Turn untuk kekal dalam parti itu adalah kerana wadah yang disertai oleh Azmin ialah Bersatu iaitu sebuah parti Melayu mirip UMNO.

Begitu pun, Azmin dikatakan tidak akan tergesa-gesa menubuhkan parti baru itu dan kemungkinan ia hanya akan direalisasikan selepas berakhirnya pemilihan Bersatu atau setelah selesai episod usul undi tidak percaya yang bakal dibentangkan oleh PH bersama Tun Mahathir terhadap Muhyiddin di Parlimen. (ShahbudinHusin 22/04/2020)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan