Bung Moktar sahkan pemimpin Pas, PPBM bangang

ARIF ATAN
Dikenali cakap lepas di Dewan Rakyat, sifat pemimpin Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga sama di Twitter.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu tanpa berlapik menganggap dua pemimpin yang tular sebelum ini kerana menyertai jamuan sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai bangang.

Reaksi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah itu susulan pengguna Twitter, Akif yang memohon komentar daripada Bung Moktar.

“Tak faham aku, kalau kata tak bijak tak patut, kalau orang kata bangang mungkin ya.

“Hari-hari kita berkata jangan buat perkumpulan, jangan makan ramai ramai, jangan keluar rumah, dia buat juga. Confirm bangang,” ciapnya terhadap gambar Exco Perak dari Pas, Razman Zakaria dan Ahli Parlimen Bagan Serai dari PPBM, Datuk Dr Norazmi Ghazali itu.

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol dan Norazmi merangkap Timbalan Menteri Kesihatan I serta beberapa individu lain hadir jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong ketika PKP bagi mengekang penularan Covid-19 sedang berkuatkuasa.

Mereka juga bersembahyang jemaah bersama dengan diimamkan oleh Razman. Bagaimanapun, Razman kemudiannya memohon maaf secara terbuka semalam selepas gambarnya itu tular di media sosial.

Katanya, pencerahan yang diberikan itu bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Razman berkata, setiap tindakan pihaknya termasuk ketika turun padang melihat keperluan petugas barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19 amat menitikberatkan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Untuk makluman saya setiap hari bergerak untuk membantu petugas barisan hadapan, melihat kekurangan peralatan yang dihadapi terutama kepada petugas kesihatan.

“Sebagai contoh jika kita tidak turun padang, mana kita dapat tahu keperluan tandas bergerak untuk kegunaan petugas sekatan jalan raya amat mendesak,” jelas Razman.

“Sekali lagi saya mohon maaf dan terima kasih rakyat Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, orang ramai mendesak tindakan undang-undang terhadap Exco dan Timbalan Menteri yang mengingkari PKP itu tidak harus berbeza dengan hukuman terhadap rakyat biasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan