Doktor saran MKN sumbat individu dari ‘kayangan’ ke lokap

MALAYSIA DATELINE
Meluahkan rasa terkilannya terhadap mereka yang baru pulang dari luar negara tetapi sukar memberi kerjasama untuk dikuarantin, seorang pakar perubatan menyarankan kerajaan agar menyumbat mereka ke lokap buat sementara waktu.

Pakar Perubatan Keluarga, Medical Mythbuster Malaysia, Dr Sakinah Sulong berkata, mereka yang digelarnya ‘turun dari kayangan ini’ turut memanggil petugas kesihatan sebagai anjing dan pencacai najis.

Sikap mereka yang amat biadap itu, tambahnya, jauh berbeza dengan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

Ikuti luahan Dr Sakinah di Facebook beliau hari ini yang tular dengan mendapat lebih 2,100 komentar dan 35,000 perkongsian selepas tujuh jam dimuatnaik di media sosial itu:

Kami Bukan Anjing

Pengalaman menjadi petugas yang mengambil sampel untuk Covid-19, kadang-kadang menjentik hati saya.

Manusia tak kira apa warna kulitnya, datang dengan dua lubang hidung, satu mulut untuk kami ambil swabnya. Tak kira lah siapa dia.

Pengarah Jabatan ke, jemaah tabligh ke, doktor ke, pelajar ke, semuanya sama. Lubang hidungnya sama. Rongga mulutnya sama.

Tapi yang jadi buat ralat ialah kami menyaksikan ada manusia yang sangat sombong.

Masa kami ambik sampel jemaah tabligh, rata-ratanya mudah bagi kerjasama. Datang awal kalau diminta datang untuk pensampelan. Jarang yang buat masalah. Jarang yang nak bergaduh dengan petugas.

Tapi bila ada golongan yang baru turun dari kayangan ni, (yang baru pulang dari luar negara) macam-macam karenah terpaksa dihadapi. Tak nak dikuarantin. Marah-marah.

Panggil staf kami ‘dog‘. Panggil staf kami pencacai najis. Memang sangat kurang ajar!

Kami tak kisah bekerja keras untuk menyekat penularan Covid-19. Dan bukan kami minta dihampar karpet merah. Tapi betapa kami dihina hanya kerana kami cuba melakukan tugas kami. Sangat menyedihkan.

Sampaikan ada petugas yang terpaksa berundur tak mampu bersuara. Bimbang timbul kekasaran kerana dimaki begitu.

Saya fikir, kalau begini kelakuan orang yang dikuarantin, amat bagus sekiranya laporan polis dibuat. Atau MKN (Majlis Keselamatan Negara) mengeluarkan arahan kepada pihak yang dikuarantin, sekiranya tak nak bagi kerjasama, disumbat lokap sementara!

Kami petugas kesihatan hanya bertindak mengikut arahan. Buat saringan simptom dan vital sign. Buat pensampelan.

Buat rujukan ke hospital seandainya perlu. Hanya untuk memastikan rakyat Malaysia yang baru sampai dari luar negeri ini selamat dan tidak menyebarkan pada orang lain.

Memang kami kena kerja kuat sekarang. Pihak atasan duk fikir mana nak tempatkan mereka, pihak staf bawahan yang bertugas siang dan malam nak buat saringan. Bukan suka-suka.

Tapi, nampaknya, ada orang turun kayangan ini, sombongnya bukan main, bagai dipijak-pijak maruah kami, petugas kesihatan! Memang tak bersyukur!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan