Jurujual jam, pelajar kolej ditahan di Ipoh kerana hina Islam
Polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai jurujual jam dan seorang pelajar kolej wanita, kerana disyaki terlibat dalam kes mempersendakan agama Islam melalui rakaman video yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata, pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan suspek lelaki berusia 20 tahun itu di Taman Kledang, Menglembu dekat sini, pukul 11.15 malam tadi, sebelum menahan rakan sebayanya, di Taman Silibin Ria.
"Lelaki itu mengaku melakukan watak solat dalam video berkenaan dan rakan wanitanya mengaku merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon miliknya, dengan niat untuk bergurau di sebuah inap desa di Taman Lapangan Terbang, sebelum memuat naik di Instagramnya.
"Rakaman itu dilakukan pada 28 Okt lepas kira-kira pukul 1.27 pagi, berdasarkan semakan di telefon bimbit berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
A Asmadi berkata, siasatan awal mendapati wanita itu telah memadamkan video yang dimuat naik di laman Instagramnya kerana takut, setelah ia menjadi tular.
Katanya polis telah merampas dua unit telefon bimbit dan kedua-dua individu tersebut direman empat hari sehingga 22 April ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955; Seksyen 298 Kanun Keseksaan; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Video berdurasi 28 saat itu, menunjukkan seorang lelaki berbaju hitam dan berseluar pendek hitam, sedang melakonkan solat dalam keadaan bergurau, sambil gelak ketawa bersama rakannya.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan