Wan Ji Wan Hussin
Pada saat ini, ada dua aliran pemikiran umat Islam di Malaysia yang sedang bertembung. Satu, aliran Asyairah yang didedahkan dengan pendekatan sifat 20 dalam pengajian akidah. Satu lagi aliran salafiyah yang terdedah dengan pendekatan tiga serangkai dalam pengajian yang sama.
Sama ada pendekatan sifat 20 atau tiga serangkai, semua pendekatan ini mempunyai satu tujuan sahaja, iaitu mahu mengenal Allah.
Pertembungan ini bukan baru. Ia sudah lama berlaku. Cuma, perbalahan itu semakin kuat dibicarakan sekarang disebabkan isu pelantikan jawatan mufti wilayah. Selepas Dr Zulkifli Mohamad menjawat jawatan menteri agama, jawatan mufti Wilayah kosong.
Dengan itu, semua pihak menampilkan tokoh daripada aliran masing-masing. Semua pihak menampilkan tokoh mereka sebagai yang paling layak dan tokoh lain sebagai tidak layak. Lebih parah lagi, ada kempen untuk menampilkan tokoh aliran mereka dibuat.
Kerja lobi-melobi berlaku dengan begitu hebat. Bukan tersembunyi lagi. Tidak sekadar di Facebook dan Twitter, turut berlaku kempen di peringkat WhatsApp dan Telegram.
Jika kempen itu dengan cara angkat kehebatan tokoh masing-masing, mungkin ramai anggap memualkan. Manakan tidak, ia melibatkan orang-orang agama; orang yang kononnya menyeru masyarakat awam agar bertakwa kepada Allah.
Mereka dari kalangan yang sering kelihatan berkopiah, berserban dan berjubah. Mereka menyeru agar menjaga solat lima waktu, menjaga tahajud dan sebagainya.
Realitinya, apa yang berlaku lebih memualkan, malah menjijikkan. Iaitu, apabila setiap mereka sudah seperti parti politik yang sedang bertanding dalam pilihan raya kecil.
Atas alasan perlu menjaga akidah umat, setiap pihak menghina, mencemuh dan mengeluarkan video-video tokoh yang tidak disukai dengan memberikan persepsi buruk - yang semuanya tidak ada lain hanya untuk membunuh karakter tokoh.
Kalau Muslim biasa melihat pun sudah rasa jijik, bayangkan yang melihat itu adalah bukan Muslim.
Salafiah lawan Asyairah
Geng Asyairah sering menuduh orang Salafiah sebagai Wahabi. Bukan Salafiah sahaja, kadangkala yang tidak sefikrah dengan mereka pun, amat mudah dituduh Wahabi. Seseorang dari aliran Asyairah yang bertoleransi dengan Salafiah pun, kadangkala mendapat tuduhan Wahabi juga.
Bukan sekadar menuduh Wahabi, mereka membuat tuduhan juga bahawa kalangan yang berbeza dengan mereka sebagai bukan ahli al-Sunnah wa al-Jamaah (ringkas disebut Sunni).
Sebenarnya, perangai yang sama juga ada pada geng Salafiah dalam membuat tuduhan terhadap geng Asyairah. Menafikan mereka sebagai Sunni, dan ditambah pula tuduhan dengan jenama ahli bidaah.
Tuduh menuduh ini, menyebabkan setiap pihak marah. Tambahan pula, dalam perlembagaan Malaysia dinyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, manakala tafsiran ‘Islam’ dalam perlembagaan telah diperincikan menerusi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali kelapan pada 24 dan 25 September 1984 adalah Ahli Sunnah wal Jamaah.
Bermakna, menuduh sebagai bukan Sunni, bermaksud menafikan keislaman secara perundangan di Malaysia. Dengan sebab itu, tidak hairan setiap pihak marah apabila dituduh sebagai bukan Sunni.
Sebenarnya, perbalahan dua aliran ini tidak sekadar berlaku di Malaysia. Di Mesir dan Pakistan tidak kurang hebatnya. Kutuk-mengutuk, caci-mencaci, hina-menghina setiap aliran berlaku sehingga di atas mimbar Jumaat. Sekadar di meja kuliah agama, itu perkara biasa sahaja di sana.
Di Malaysia pula, fenomena percakaran umat ini semakin membiak pesat. Bukan tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi kini ia semakin menjadi-jadi dan mudah kelihatan. Mungkin faktor media sosial yang terbuka – setiap pihak boleh menulis dan video ceramah guru masing-masing boleh didapati dengan mudah di media sosial seperti Facebook dan YouTube.
Pengikut bagi setiap aliran pula menganggap menyebar tulisan dan video ceramah guru itu sebagai berpahala. Percaya bahawa ini perjuangan menjaga akidah umat. Mereka sudah menjadi tentera-tentera tidak bergaji untuk melakukan serangan. Semakin hari semakin meriah. Meriah dengan prejudis dan permusuhan sesama Muslim; sesama menyembah Allah dan mengakui Nabi Muhammad sebagai nabi akhir zaman.
Ia lebih semarak, apabila sudah melibatkan kuasa seperti jawatan mufti. Apatah lagi, sudah berlaku berkali-kali bahawa apabila orang Salafiah jadi mufti, orang Asyairah dihalang dari berceramah; apabila orang Asyairah jadi mufti, orang Salafiah pula dihalang berceramah.
Jika ini realitinya, tidak hairan, melobi jawatan mufti itu berlaku.
Toleransi
Dalam ramai-ramai agamawan, terdapat segelintir mereka yang tidak mahu terjebak kepada perbalahan aliran ini. Dia mengambil pendekatan meraikan semua pihak. Dalam isu aliran Salafiah dan Asyairah, pada dia perlu dipersaudarakan seperti persaudaraan antara Aus dan Khazraj.
Namun, sikap sebegitu tidak disenangi oleh setiap pendokong aliran masing-masing. Dengan itu, Orang Asyairah menuduhnya pula sebagai Wahabi; dan orang Salafiah pula menuduh dia sebagai Asyairah. Dek kerana sikap meraikan kebebasan aliran-aliran ini, tidak kurang juga, dia dituduh sebagai liberal dan sesat.
Sepertimana kita tahu, semua negeri di Malaysia ini mempunyai mufti masing-masing. Sudah pasti, setiap negeri terikat kepada salah satu dari dua aliran berdasarkan aliran mufti mereka. Jika muftinya daripada aliran Asyairah, maka negeri itu menggunakan kuasa yang ada untuk halang agamawan dari aliran Salafiah berceramah. Demikianlah sebaliknya.
Bagi agamawan yang meraikan semua aliran ini sehingga mendapat dua tuduhan tadi, dia pula menjadi mangsa – dia dihalang berceramah di semua negeri-negeri. Ini kerana, masing-masing negeri itu, sama ada mereka dari aliran Asyairah ataupun dari aliran Salafiah.
Agamawan terbabit mengambil sifat sedemikian kerana dia tidak mahu melihat umat Islam berbalah disebabkan perbezaan pendapat. Dia mahu lihat, perbezaan sebagai lambang kebijaskanaan, bukan punca perbalahan. Dia mengambil sikap sedemikian, kerana dia mahu umat Islam ini kuat dan mampu bersaing secara sihat dengan masyarakat bukan Muslim.
Sampai bila umat Islam akan bertembung perkara sebegini?
Kita sewajarnya malu dengan orang bukan Islam yang ada ramai dari kalangan mereka (bukan semua) yang dapat meraikan kepelbagaian agama, sedangkan kita dari satu agama - sesama mengakui Allah sebagai tuhan dan Nabi Muhammad sebagai nabi akhir zaman, tetapi kita tidak dapat meraikan aliran pemikiran dan mazhab.
Perbezaan pendapat
Saya antara orang yang bersetuju bahawa perbezaan pendapat tidak dapat dielakkan. Tetapi, saya tidak bersetuju dengan anggapan perbezaan pendapat, perlu ditanggapi sebagai permusuhan dan perbalahan.
Kalau mahu dikira berbeza, antara suami dan isteri juga wujud perbezaan pendapat. Tetapi, perbezaan pendapat antara suami dan isteri, apabila ada sikap saling menghormati dan meraikan, ia tidak membawa kepada perbalahan. Demikian lah dengan perbezaan kaum, budaya dalam masyarakat.
Yang jadi berbalah bukan kerana perbezaan. Berbalah terjadi bermula dari jiwa yang suka berbalah. Jiwa berbalah itu, sama ada dengan merasakan diri kita lebih baik dari orang lain; merasakan aliran kita yang paling benar dan aliran orang lain sebagai tidak benar; merasakan aliran kita sahaja masuk ke syurga dan aliran selain kita sebagai ahli neraka; tidak bersedia belajar kebaikan dari orang lain, dan mahu orang lain perlu tunduk kepada kita.
Jiwa berbalah ini, jika wujud dalam diri pengikut pun, itu sudah susah. Bayangkan, jiwa berbalah itu wujud dalam diri agamawan. Digunakan seribu satu ayat al-Quran dan hadis untuk menghalalkan perbalahan itu.
Kadangkala terfikir, mungkin benar apa yang M Nasir sebut dalam lagu beliau bertajuk Tanya Sama Hud-hud: “Dalam kalut, ada peraturan. Peraturan cipta kekalutan.”
Ya, memang susah nak harmonikan agamawan. Kerana, mereka penentu kepada pentafsiran wahyu.
WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan