Makin ramai orang lapar selepas 14 hari PKP

Zainal Rashid Ahmad

AGAK menyentuh perasaan apabila aktivis kebajikan kini mula kehilangan komuniti penyumbang dana amal secara mendadak. Terutama bagi yang bergantung dana sumbangan peniaga.

Selepas tiga minggu perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, peniaga terpaksa menutup premis. Apabila bisnes terhenti, peniaga mengalami kerugian malah terputus pendapatan.

Bagi aktivis Shahrizal Mat Zin, impak terhadap kerja amal dan bantuan kewangan kini terjejas teruk. Dia kehilangan sumber utama sokongan dana.

“Lebih 90% penyumbang projek kerja amal kami ialah komuniti peniaga di Chow Kit. Apabila bisnes ditutup, sukar mendapatkan bantuan kewangan,” katanya.

Komuniti peniaga kini tidak lagi mampu menghulurkan bantuan kewangan atau makanan kerana pendapatan mereka terjejas teruk.

“Lebih dua minggu kedai ditutup, peniaga kecil turut menjadi komuniti yang hidup dalam kesusahan,” kata Shahrizal.

Pada Sabtu lalu, Shahrizal terpaksa membelek senarai kontak dalam telefon genggamnya. Meneliti satu demi satu nama serta menilai potensi untuk menghubungi mereka bagi mendapatkan bantuan.

“Ada 11 keluarga yang sudah dua hari terputus bekalan makanan di PPR Desa Permai, Kepong. Untuk menyediakan bantuan stok makanan 10 hari bagi setiap keluarga, kami memerlukan sekitar RM700 ke RM800,” katanya.

Impaknya kehilangan sumber dana sangat terasa, kata Shahrizal. Ia berbeza dengan keadaan sepanjang lapan tahun lalu.

“Sejak kami menjalankan kerja amal pada 2012, angka RM3,000 boleh dikumpulan sepantas tiga jam,” katanya.

Pada 2014, ketika menerima berita mengenai nasib empat keluarga pesakit kanser terpaksa bermalam di kawasan parkir Stadium Raja Muda, satu kempen dana dijalankan dalam aplikasi grup WhatsApp peniaga.

“Tiga jam capai RM3,000 kutipan hasil sumbangan rakan-rakan peniaga. Kami terus menemui empat keluarga pesakit kanser dan menawarkan bantuan penginapan, makanan dan keperluan tunai,” kata Shahrizal.

Sekarang, katanya, memahami keadaan rakan-rakan peniaga yang mengalami impak kewangan yang teruk, Shahrizal terpaksa menghubungi kenalan lain secara peribadi.

“Alhamdulilllah… masih ada yang membantu. Kami bergerak ke pasaraya dan bertemu penderma yang terus saja membeli stok makanan. Kami bawa ke lokasi dan terus edarkan,” katanya.

Shahrizal menerima banyak aduan kes kelaparan dan ketiadaan makanan di kawasan PPR Kuala Lumpur. Paling kronik selepas minggu kedua PKP.

“Kami mengusahakan bantuan. Apa lagi dalam kes di PPR Desa Permai, keluarga yang terlibat sudah terputus bekalan selama dua hari,” jelasnya.

Merentas perjalanan ke Cheras bertemu penderma dan terus membeli keperluan makanan.

Selesai urusan mendapatkan bekalan bantuan, Shahrizal terus memandu ke Kepong untuk menghantar bantuan. Semua ini turut menjadi pengalaman mencabar.

“Saya berterus-terang kepada pihak polis ketika ditahan di sekatan jalanraya. Malah, menunjukkan bukti perbualan wasap mengenai urusan bantuan makanan. Saya dibenar meneruskan perjalanan,” jelasnya.

Di Cheras, Shahrizal mendapat bantuan membeli dua belas beg beras 10 kilogram, 22 tin sardin dan 22 paket gula, 11 botol minyak masak dan 22 paket teh dan kopi.

“Masih ada penderma yang bermurah hati,” katanya.

Kisah Shahrizal hanya satu titik kecil dalam skala kebajikan yang besar. Dalam period PKP, aktivis terpaksa lebih agresif untuk mendapatkan bantuan.

Di seluruh negara, aktivis NGO, kumpulan adhoc dan individu prihatin kini terpaksa mengubah pendekatan mengumpulkan dana. Malah, menukar strategi mengedarkan bekalan makanan.

“Di sekitar Kuala Lumpur, majoriti penghuni PPR ialah pekerja rencam atau bergaji hari. Mereka tidak akan dibayar gaji kerana tidak bekerja sepanjang PKP,” katanya.

Shahrizal yang juga peniaga kecil di Kampong Bharu tetap terus aktif. Dia perlu berusaha dengan pelbagai cara bagi mendapatkan bekalan makanan untuk keluarga yang kelaparan.

PKP bukan sekadar kisah mengawal lengkungan jangkitan. Atau kedegilan ratusan orang yang melanggar perintah berkurung.

Aktivis kemanusiaan di seluruh negara kini bertarung menangani masalah akses keluarga miskin yang gagal mendapatkan makanan.

PKP melonggarkan syarat dan membolehkan sesiapa saja keluar dan membeli bekalan makanan di pasaraya atau kedai serbaneka.

Persoalannya - makanan di semua premis ini tidak percuma. Tanpa wang, keluarga miskin akan kelaparan.

“Kita tidak akan membiarkan orang susah hidup dalam kelaparan,” kata Shahrizal mengakhiri perbualan telefon. – 8 April, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera

Tiada ulasan:

Catat Ulasan