Netizen kecam pesakit Covid-19 ke-136 punca 1 Malaysia sengsara

Satu Malaysia sengsara, netizen kecam pesakit Covid-19 ke-136 ‘kuat merayap’
ARIF ATAN


Rata-rata rakyat Malaysia mengecam pesakit Covid-19 kes ke-136 yang dianggap tidak mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin sendiri selepas pulang dari Korea Selatan pada 22 Februari.

Walaupun identitinya dirahsiakan oleh KKM sebelum ini, tetapi pemuda berusia 26 tahun itu kemudiannya tampil memberi penjelasan pada 5 April lalu di Twitter atas nama Wan Akasha.

Semakan Malaysia Dateline di akaun Twitter tersebut mendapati nama tersebut bagaimanapun bukan nama sebenar seperti dimaklumkan pada profil laman itu.

Wan Akasha memberitahu, dia kembali ke tanah air pada 22 Februari lalu dalam keadaan sihat selanjutnya menghadiri majlis ijtima’ di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 2 Mac.

Menurut pemuda dari Negeri Sembilan itu, dia langsung tiada gejala demam atau sebarang penyakit sepanjang 10 hari berada di tanah air.

Walaupun kerajaan telah mengingatkan agar rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara menjalani proses kuarantin di kediaman sendiri selama 14 hari sebagai usaha mengekang penyebaran jangkitan Covid-19, Wan Akasha dilihat gagal berbuat demikian.

Malah, dalam bebenang di Twitter, dia memberitahu ada rakan mengambilnya di lapangan terbang dan berjumpa beberapa orang rakan sebelum ke Masjid Sri Petaling.

Walau bagaimanapun, Wan Akasha berkata, dia banyak melakukan aktiviti di luar masjid sekali gus mendedahkan dirinya kepada orang ramai termasuk menemui abang saudara yang berniaga di bazar dekat luar masjid tersebut.

Tidak cukup itu, Wan Akasha berkunjung ke rumah keluarga rakan sepengajiannya di universiti manakala hanya lima hari dia berada di Sri Petaling.

Pesakit ke-136 dikecam kerana tidak mengasingkan diri selepas balik dari Korea Selatan.

Demam tapi ke Bandung

Pada 3 Mac pula, Wan Akasha mengaku pergi ke Pahang pula dengan seorang rakan dan nenek dia sendiri. Dalam perjalanan ke Pahang itulah, katanya, dia mulai rasa tidak sihat badan.

Ini bermakna dia mulai mendapat simptom pada hari ke-11 selepas kembali ke Malaysia. KKM sebelum ini memberitahu tempoh inkubasi Covid-19 adalah selama 14 hari.

Walaupun demam, Wan Akasha menganggap tubuhnya kekurangan air dan kembali sihat selepas menelan panadol.

Keesokan harinya iaitu pada 4 Mac, Wan Akasha ke Bandung bersama tujuh orang yang lain selama tiga hari dua malam.

Sikap kuat ‘merayap’ itu dikecam warga maya kerana membuktikan Wan Akasha langsung tidak menjalani proses kuarantin di rumah walau pun sehari.

Lanjut mengundang kemarahan orang ramai khususnya makian penduduk di Melaka apabila dia memberitahu pergi ke negeri itu pula selepas pulang dari Bandung.

“Dengan tiga orang yang bersama-sama saya ke Bandung dan tambah lagi dua orang lain. Terus ke Melaka bersama dari KL daripada pagi sehingga malam,” ujarnya.

Ramai menganggap mujur ayah Wan Akasha yang menjalani ujian saringan Covid-19 memberitahu doktor yang anaknya itu balik dari Korea Selatan.

Jika tidak, dia yang akhirnya dirawat di Hospital Tuanku Jaafar mungkin akan terus ‘merayap’ sekali gus dibimbangi menyebarkan jangkitan Covid-19.

Tentang sebab ayah Wan Akasha menjalani ujian saringan itu tidak pula Wan Akasha beritahu dalam penjelasannya yang panjang lebar itu.

Melihatkan pemuda tersebut begitu kuat ‘merayap’ merentas negara dan negeri sejurus pulang dari Korea, rata-rata warga maya menyifatkan Wan Akasha sebagai orang yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri.

Dia dianggap sebagai pembawa virus berbahaya Covid-19 sekali gus punca kepada gelombang kedua pandemik itu bermula 27 Februari lalu selepas 11 hari tidak mempunyai kes baharu.

Serentak itu, tanda pagar #Patient136 menjadi trending di media sosial dengan luahan marah rakyat Malaysia yang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac kemudian disambung lagi sejak 1 April lalu.

“Sebab kaulah (Wan Akasha) satu Malaysia kena duduk rumah. Sebab kaulah ramai yang mati. Sebab kaulah jemaah tabligh kena kecam,” tegas pengguna Facebook Hisham Jejai Musa.

Sebelum ini, KKM hanya menandakan “kes ke-136” yang belajar bahasa Korea dan kerja sambilan sebagai agen pelancongan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 4 Mac lalu berkata, gelombang pertama jangkitan Covid-19 di negara ini merangkumi 22 kes.

Sementara itu dalam ciapan Wan Akasha petang semalam, dia memohon maaf sekiranya orang ramai tidak dapat menerima penjelasannya.

“Saya minta maaf kalau penerangan saya tidak dapat diterima anda sekalian, tapi saya pesakit 136 pun seorang manusia biasa punyai hati dan perasaan.

“Saya ada keluarga di mana hati mereka perlu dijaga, saya ada hak untuk menidakkan fitnah yang berleluasa ini,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan