'Setakat ini sajalah saya bantu orang susah waktu PKP' – Ebit Lew


Pendakwah bebas, Ebit Lew membuat pengumuman mengejutkan beliau akan berhenti menyalurkan bantuan kepada pihak yang terkesan susulan pandemik Covid-19.

Beliau berkata demikian setelah mendapat nasihat daripada pihak berkuasa kerana terdapat aduan terhadapnya susulan kegiatan yang dijalankan.

“Saya minta maaf pada semua ya, atas nasihat setakat ini sahajalah saya berkhidmat pada semua secara langsung.

“Saya cuma akan beri bantuan duit pada orang susah. Saya teruskan dari rumah sahaja. Jangan tag saya lagi kes orang susah. Nanti habis PKP (perintah kawalan pergerakan) baru saya cuba bantu,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook hari ini.

Ebit bukanlah asing dengan kerja-kerja amal dan kebajikan, selain giat mengadakan seminar di merata tempat selama ini.

Pada tempoh PKP kini, beliau terlibat secara aktif menghulurkan bantuan kepada pihak termasuk petugas barisan hadapan serta orang ramai.

Beberapa hari lalu Ebit dibayangi kontroversi selepas melawat sebuah keluarga daif di Derga, Kedah.

Antara lain penduduk setempat menjadi kecaman orang luar yang menyangka mereka tidak mengendahkan keluarga terbabit.

Beberapa pihak - termasuk kerajaan Kedah dan Lembaga Zakat Kedah - kemudian tampil menjelaskan keluarga berkenaan memang menjadi penerima bantuan tetap.

Menurut exco negeri, keluarga berkenaan juga sudah diminta supaya berpindah ke rumah baru yang disediakan namun gagal.

Bagaimanapun, selepas dipujuk Ebit keluarga berkenaan akhirnya berpindah ke kediaman baru selepas menetap di situ lebih 15 tahun.

Sementara itu, Ebit turut memohon maaf sekiranya tindakan memuat naik video ketika beliau menyalurkan bantuan telah mengguris hati beberapa pihak.

“Saya minta maaf. Saya memang jadikan media ini medan berkongsi rasa kasih sayang dengan semua. Tadi menangis saya beri keterangan pada beberapa pegawai sebab penat kot. Serius penat sangat.

Saya cuma Cina Islam

“Saya tak salahkan sesiapa. Saya bukan ahli politik. Saya bukan sesiapa, cuma Cina Islam yang sayangkan Islam dan negara Malaysia,” luahnya lagi.

Tambahnya, beliau juga tidak berniat untuk membuat dirinya tular setelah memberi bantuan kebajikan tersebut.

“Cuma saya terasa sedih sangat. Andai saya menyusahkan sesiapa saya minta maaf. Saya memang tak boleh tengok orang tidur atas najis atau tepi jalan. Lebih seratus orang dah saya bayar penginapan dan tempat tinggal.

“Cuma beberapa kes tu saya kongsikan dengan kawan di media fb saya. Saya pun tak niat nak viral (tular) apa ke. Ramai anak-anak susah terbiar tahfiz saya bayarkan yuran mereka,” kata Ebit.

Jelas Ebit lagi, bantuan yang diberikan juga adalah hasil simpanan wangnya sendiri.

“Perniagaan saya sebenarnya sangat baik. Syukur pada Allah. Rezeki melimpah ruah. Saya belanja duit saya sendiri dari dulu lagi untuk bantu orang dimana-mana.

“Masa PKP ini dah berjuta habis. Duit simpanan saya sendiri dah sejuta ringgit saya belanjakan.

“Sekarang ramai juga mula bersama saya dalam kerja membantu dan menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan termasuk petugas barisan hadapan,” katanya.

Mengakhiri catatannya hari ini, Ebit mengucapkan "selamat Ramadan pada semua" dan sekali lagi mengulangi permohonan maafnya.

"Jika ini harga perlu dibayar setelah semua ini saya reda. Saya minta maaf pada semua ye.

"Saya salah. Kepada Allah saya berserah. Ya Allah aku adukan sedih aku, susah aku hanya kepada Engkau," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan