'Jangan hairan jika Muhyiddin balik ke Umno dan dipecat semula’

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin berkata, adalah tidak menghairankan dan mengejutkan jika Muhyiddin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meninggalkan Bersatu dan menyertai semula Umno.

Namun, katanya juga, adalah tidak menghairankan dan mengejutkan jika sekali lagi dipermainkan oleh Umno.

Menulis di blog, Kadir berkata pulang semula ke pangkuan Umno adalah antara opsyen yang dipertimbangkan oleh Muhyiddin dalam berdepan dengan ketidaktentuan masa depan Bersatu.

“Kita kena ingat, Muhyiddin tidak keluar daripada Umno.

“Dia dipecat oleh Najib (Razak) sedangkan Dr Mahathir Mohamad keluar Umno secara sukarela.

“Maka adalah tidak mustahil atau memeranjatkan sekiranya Muhyiddin melakukan perjalanan pulang ke pangkuan Umno,” katanya.

Muhyddin dipecat dari Umno pada 2016 kerana lantang mempersoalkan tindakan Najib berhubung skandal 1MDB.

Pada Februari tahun ini, presiden Bersatu itu mengisytiharkan bahawa partinya keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan membentuk gabungan Perikatan Nasional bersama Umno, BN, dan PAS untuk mengambil alih teraju pemerintahan persekutuan.

Namun, Bersatu berpecah antara kumpulan yang berpihak kepada Muhyiddin, dan mereka yang setia kepada Dr Mahathir dan PH.

Kadir dalam tulisannya mengingatkan bahawa, Umno tidak sepenuhnya menyokong PN, dan sebaliknya hanya memperalatkan gabungan itu untuk mengukuhkan kedudukannya dan kembali berkuasa.

“Umno mabuk kuasa. Ia tidak boleh hidup tanpa kuasa dan Muhyiddin memberikan candu yang ia perlukan. Apabila mabuk, siapa yang dibelasah? Jawabnya, Bersatu.

“Bagi Umno dan PAS mereka tidak rugi apa-apa. Mereka kalah PRU ke-14 tetapi kembali berkuasa dengan ihsan Muhyiddin dan konco-konconya. Umno dan PAS sekadar menjadikan kerajaan PN batu loncatan untuk Mufakat Nasional.

“Malah mereka boleh mencetuskan krisis, seperti undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, supaya kerajaan PN jatuh dan dengan itu memaksa pembubaran parlimen dan mengadakan PRU lebih awal.

“Kalau Umno boleh dengan mudah membuang Muhyiddin pada tahun 2016, sedangkan ketika itu dia timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, kita jangan hairan atau terperanjat kalau dia sekali lagi dipermainkan oleh Umno,” katanya.

Justeru, Kadir mengingatkan anggota Bersatu yang masih berpegang kepada prinsip perjuangan supaya faham mainan politik Muhyiddin dan konco-konconya yang merugikan parti itu.

Pada PRU14, Bersatu dan Umno bertanding merebut kerusi parlimen dan DUN yang sama. Pemerhati berkata adalah tidak mungkin Umno akan memberi laluan kepada Bersatu pada pilihan raya umum akan datang.

Ini menurut Dr Mahathir akan menyaksikan Bersatu akhirnya terkubur.

Pertarungan untuk menguasai Bersatu sedang berlangsung susulan pemilihan parti, dengan anak Mahathir, Mukhriz mencabar Muhyiddin untuk jawatan presiden.

Mahathir telah memenangi jawatan pengerusi kedudukan paling berkuasa di Bersatu - tanpa pertandingan, tetapi terdapat pertikaian mengenai cara penguasaannya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan