‘Juara tembak babi’ bertikam lidah dengan wakil rakyat DAP

ARIF ATAN
Walaupun berada di bulan Ramadan bahkan Nuzul al-Quran semalam, tindakan bergaduh dan memaki dilihat masih dilakukan oleh wakil rakyat beragama Islam dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sekurang-kurangnya 15 kali Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) melontarkan perkataan ‘babi’ bertubi-tubi kepada Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana) dalam persidangan DUN Melaka di Seri Negeri pagi tadi.

Perang mulut itu mula tercetus didakwa ekoran provokasi oleh Chee Leong yang dulunya Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri sehinggakan kedua-dua ADUN tersebut terpaksa ditenangkan oleh wakil rakyat lain sebelum bentara datang.

Pada ketika Norhizam berulang kali menyebut “Babi! Babi! Babi!” dan “Bodoh”, Chee Leong pula menggelarkan bekas Exco kerajaan negeri ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu sebagai “pengkhianat” dan “bodoh” selain mencabar, “lu jantan mari sini”.

Norhizam memanggil Chee Leong “babi” manakala ADUN DAP itu menggelar ‘juara tembak babi’ itu sebagai pengkhianat.

Low Chee Leong
Dalam masa sama, persidangan yang bermula jam 9.30 pagi itu juga kecoh apabila Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) mendakwa Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar tidak layak berada di kerusi itu.

Idris turut melemparkan buku peraturan dewan ke arah Omar ketika agenda pertama untuk bacaan doa ingin dimulakan oleh Speaker.

Norhizam lima bulan lalu menggemparkan negara selepas menjawab soalan tambahan Datuk Gue Teck (PH-Klebang) berhubung perkembangan operasi menembak babi hutan.

Ekoran itu, Norhizam dalam sidang DUN pada 21 November tahun lalu dinobatkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Omar Jaafar secara berseloroh sebagai ‘juara tembak babi’.

Norhizam yang ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri juga mempertahankan dakwaan wujudnya migrasi babi hutan dari Sumatera ke Melaka.

Dia yang ketika itu Timbalan Pengerusi DAP Melaka mendedahkan sebanyak 479 babi hutan berjaya ditembak dalam operasi yang dijalankan secara berkala, sejak Januari hingga Oktober lalu.

Kenyataan Norhizam juga mengundang kelucuan apabila berkata babi hutan berupaya berenang merentasi Selat Melaka dari Sumatera dan singgah di Pulau Besar sebelum berenang ke Melaka sehingga menyebabkan populasi haiwan liar itu meningkat.

Pada 2 Mac lalu, Norhizam dan ADUN PKR Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis hadir pada sidang media Pengerusi Umno Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri yang baharu menggantikan PH.

Dia juga mengaku menjadi barua DAP sebelum ini. Sehubungan itu, tindakannya menyokong PN katanya konon demi kepentingan orang Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan