MALAYSIA DATELINE
Kamarul ‘disekolahkan’ peguam.
Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff dilihat terus dihujani kritikan berhubung pendiriannya yang menyalahkan DAP dalam insiden kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk.
Beliau menganggap Anthony Loke dari DAP ketika menjadi Menteri Pengangkutan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah gagal menyiapkan draf pindaan tiga seksyen dalam Akta JPJ iaitu Seksyen-Seksyen 41, 44 dan 45.
Kamarul mendakwa tidaklah sampai perlu memakan masa yang lama jika Anthony betul-betul buat kerja.
Kritikan paling mendapat perhatian ramai adalah daripada peguam, Liyana Marzuki yang pernah 10 tahun berkhidmat di Pejabat Peguam Negara (AGC) selama 10 tahun.
Menurut Liyana, Anthony sekurang-kurangnya berusaha untuk membuat pindaan dalam tempoh kurang dua tahun.
“Ada RUU sebagai contoh, Akta Persaingan sampai 15 tahun baru dibentangkan di Parlimen,” hujahnya.
Dalam masa sama, bekas pegawai khas menteri itu berkata, kes pemandu mabuk bukan hanya berlaku ketika pentadbiran PH sahaja.
“Nak tanya kes pemandu mabuk ini zaman PH sajakah? Zaman BN dulu tiadakah? Pasti ada juga. Mengapa tiada pindaan dibuat masa itu?” bidasnya.
Sehubungan itu, Liyana yang kecewa dengan pandangan Kamarul sebagai pemegang PhD dalam sains politik merumuskan agama dan kaum diguna hanya untuk menakutkan rakyat.
Liyana turut menasihatkan agar Kamarul tidak bersikap partisan dalam meneliti sesuatu isu.
“Kena adil. Bentuk pemikiran rakyat berpandukan fakta dan kebenaran,” tegas Liyana.
Kamarul kemudiannya dalam reaksi beliau mengakui pendapat Liyana itu menyebabkannya dicerca beramai-ramai kerana telah ‘disekolahkan’.
“Saya sendiri bukannya jahil mengenai aspek pindaan undang-undang ini kerana pernah bertugas sebagai Pegawai Khas Menteri Undang-Undang, malah kenal baik dengan bukan setakat pegawai AGC tetapi dengan Peguam Negara sendiri.
“Seorang mantan Peguam Negara malah mengesahkan kepada saya semalam bahawa draf pindaan akta boleh disiapkan dalam masa secepat dua minggu sahaja, cuma yang lambat adalah menunggu sidang Parlimen berlangsung sahaja,” katanya hari ini.
Terdahulu Kamarul menegaskan bahawa sememangnya DAP bersalah sehingga banyak sekali insiden kemalangan maut membabitkan pemandu yang dipercayai mabuk berlaku sejak dua tahun lalu, termasuk insiden membabitkan Koperal Safwan Muhammad Ismail.
Safwan, 31, meninggal dunia kira-kira jam 2.11 pagi, 3 Mei lalu selepas dirempuh, dihempap dan diseret oleh Toyota Hilux yang dipandu oleh Kalaichelvan A/L Kanniappan, 44, yang dipercayai mabuk.
“Menteri Pengangkutan yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas gerak kerja bagi mengatasi masalah kemalangan maut membabitkan pemandu yang dipercayai mabuk ini dari bulan Mei 2018 ke bulan Februari 2020 adalah pemimpin DAP, Anthony Loke.
“Sebagai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke jelas gagal menangani masalah pemandu mabuk ini di sebalik janji berdegar-degar beliau untuk berbuat demikian pada peringkat awal beliau memegang jawatan ini, khususnya setelah berlakunya beberapa kemalangan maut.
“Bila empat rakyat Malaysia maut dilanggar pemandu mabuk di Tawau, Sabah, Anthony Loke pun segera berjanji pada 11 Julai 2018 bahawa Kementerian Pengangkutan akan memperketatkan undang-undang sedia ada bagi menangani kes-kes pemandu mabuk.
“Begitupun, tiada apa-apa berlaku hinggalah lima lagi rakyat Malaysia maut dilanggar pemandu mabuk di Lorong Menora, Perak, di mana beliau berjanji lagi pada 9 Oktober 2018 untuk mengharamkan pemandu yang menyebabkan kemalangan maut dari memandu seumur hidup,” jelasnya.
Kamarul selanjutnya berkata, tiada apa-apa juga berlaku pada 2018 dan 2019 manakala kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk terus berlaku sehinggalah Anthony membawa isu tersebut ke mesyuarat Kabinet pada 29 Januari lalu.
“Tetapi yang dibawa oleh Anthony Loke ke mesyuarat Kabinet ini bukanlah draf cadangan pindaan akta tetapi Hasrat untuk meminda akta sahaja yang mendorong mesyuarat ini memberi persetujuan secara prinsip kepada beliau untuk membuat kajian ke atasnya.
“Tatkala Kerajaan PH hendak terkubur, Anthony Loke mengumumkan pada 13 Februari 2020 bahawa beliau masih pada peringkat mahu mengkaji kerangka dan amalan undang-undang yang digunapakai oleh negara-negara lain dalam mengatasi masalah pemandu mabuk,” tambah Kamarul lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan