Mangsa buli siber bunuh diri kerana ‘berjanji temu’ warga asing

Predeep Nambiar

Thivyaanayagi Rajendran sudah bertunang dengan teman lelakinya selama 3 tahun. (Gambar diberikan keluarga)
BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita berusia 20 tahun dipercayai menggantung dirinya Selasa lalu selepas satu video TikTok beliau dan seorang rakan sekerjanya menjadi bahan ejekan di Facebook.

Thivyaanayagi Rajendran, 20, dalam satu nota dikatakan bunuh diri memberitahu, beliau menamatkan riwayat hidupnya selepas diserang kerana “berjanji temu” dengan seorang lelaki Bangladesh yang bekerja dengannya sebagai seorang juruwang di kedai 7-Eleven di Auto City, Juru, di sini.

Menurut keluarganya, tanggapan janji temu itu datang daripada satu video menunjukkan beliau dengan seorang pekerja asing, yang cuba melakonkan satu adegan dalam sebuah lagu berbahasa Hindi. Video itu dirakamkan ketika kedua-duanya kelihatan duduk di belakang kaunter juruwang.

Video yang dimuat naik rakan sekerja wanita itu kemudiannya dimuat naik semula oleh seorang pengguna Facebook bernama “Joker Oruvan” dengan satu catatan bahasa Tamil yang ditukar kepada bahasa rumi: “Bagaimana gadis ini jatuh cinta dengan seorang Bangla…semua orang tentu merestui anda.”

Pakcik Thivyaanayagi, K Sathyaseelan berkata catatan itu, yang terus menyerang anak saudaranya, mendapat lebih 300 komen yang kebanyakannya mengejek beliau kerana berjanji temu dengan warga asing.

Catatan itu sudah dipadamkan kemudian.

Sathyaseelan berkata, fikiran anak saudaranya terganggu disebabkan komen itu dan sudah membuat laporan polis pada 19 Mei lalu.

Katanya, polis memaklumkan perkara itu akan dirujuk kepada unit jenayah siber.

“Tetapi, catatan itu masih ada hari itu dan masih ada orang yang memberikan komen. Kami beritahu polis untuk menghentikannya.

“Kami kemudian menghantar satu mesej kepada pengendali laman itu meminta mereka memadamkan video itu.

“Pengendali itu meminta kami membuat rakaman video ‘mohon maaf’ jika mahu video itu diturunkan. Kami tidak tahu kenapa perlu minta maaf. Mereka biadab ketika kami minta mereka padam catatan itu,” kata Sathyaseelan kepada FMT.

Katanya, Thivyaanayagi kembali ke biliknya kira-kira 8 malam dan apabila panggilan telefon tidak dijawab, abangnya Taran memecah masuk ke biliknya dan mendapati beliau menggantung diri dengan dupatta (selendang) di lehernya pada 9.30 malam.

Thivyaanayagi diisytiharkan meninggal dunia setibanya di hospital.

Doktor yang melakukan bedah siasat di Hospital Seberang Jaya memberitahu Taran, pemandu lori berusia 25 tahun, yang Thivyaanayagi meninggal dunia kerana asfiksia dan leher patah. Mayat adiknya dibakar semalam.

Sathyaseelan berkata, Thivyaanayagi meninggalkan satu nota bunuh diri meminta maaf kerana terbabit dalam video yang “memalukan” keluarganya.

“Alasan saya mengambil keputusan ini kerana Joker Oruvan memuat naik video saya ke Facebook dan merosakkan nama saya dan keluarga saya,” demikian sebahagian nota yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu.

Sathyaseelan berkata, anak saudara bertunang dengan teman lelakinya selama 3 tahun dan mereka merancang berkahwin pada Disember ini.

Katanya, Thivyaanayagi akan berusia 21 tahun pada Julai ini.

“Kami mahu keadilan. Beliau hanya berusia 20 tahun. Mereka yang memuat naik catatan itu untuk mempersendakannya perlu dipenjarakan. Disebabkan serangan mereka, beliau mengambil nyawanya sendiri.”

Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, P David Marshel, yang pertama kali menangani perkara sedemikian, berkata isu itu sebahagian daripada budaya buli siber lebih besar yang sering diabaikan.

Katanya, kerajaan perlu bertindak segera kerana mungkin ada kes buli lain yang tidak dikesan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan