PKPB ditolak: Khaled Nordin salahkan Azmin gagal bincang dengan kerajaan negeri

ARIF ATAN
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menganggap Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal berbincang dengan kerajaan negeri sebelum membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

Bekas Menteri Besar Johor dari 2013 hingga 2018 itu berkata, persetujuan dengan kerajaan negeri berhubung strategi pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) penting bagi mengelak penolakan selepas diumumkan.

“Satu masalah nyata ialah kegagalan Menteri Kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi berbincang, berunding dan mendapatkan konsensus dari semua Kerajaan Negeri sebelum keputusan tersebut diumumkan.

“Adalah sangat penting untuk keputusan sepenting ini dibawa ke perbincangan dengan semua Kerajaan Negeri untuk mendapatkan persetujuan semua.

“Namun, ia jelas tidak dilaksanakan,” kata Khaled yang juga bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam akaun Intagram beliau hari ini.

Ekoran itu, beliau menyifatkan kegagalan Azmin itu menunjukkan kelemahan ketara dalam kepimpinan, strategi dan penyelarasan yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi negara.

“Ia telah merumitkan sektor perniagaan dan perdagangan kerana ekonomi Malaysia sifatnya adalah rentas negeri dan sempadan,” jelas bekas Menteri Pengajian Tinggi itu lagi.

Khaled berpendapat strategi pelaksanaan PKPB adalah tidak kemas dan inklusif walaupun keputusan Kerajaan Pusat diyakini telah mendapatkan nasihat saintifik terbaik serta berpandukan data yang meyakinkan.

Pada 28 April lalu, Azmin mengumumkan semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi kebenaran beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

Selanjutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 1 Mei lalu mengumumkan kelongggaran PKP kepada PKPB bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula mulai hari ini.

Walau bagaimananapun, tujuh negeri sehingga semalam tidak melaksanakan atau mengambil pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) seperti di Selangor.

Keputusan kerajaan-kerajaan negeri itu berkaitan dengan kebimbangan penularan kembali wabak Covid-19.

Mengulas lanjut keengganan kerajaan negeri untuk melaksanakan PKPB itu, Khaled menyifatkan reaksi tersebut sebagai di luar jangkaan.

“Negeri-negeri tersebut mengambil langkah berhati-hati dengan tidak membenarkan sektor perniagaan dan perdagangan beroperasi seperti yang disarankan kerana tiadanya ‘a soft landing exit strategy’,” katanya.

Kewibawaan PN

Khaled dalam masa sama menyifatkan penolakan kebanyakan kerajaan negeri terhadap PKPB lebih memberi kesan terhadap kewibawaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani fasa pemulihan ekonomi negara.

“Apa yang berlaku adalah permulaan yang tidak baik dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran PN,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Kabinet PN mesti mengambil teladan daripada insiden tersebut memandangkan naratif baru dalam sistem federalisme negara telah muncul.

“Hubungan Kerajaan Pusat dengan Negeri-Negeri dalam Persekutuan telah menampakkan ‘normal baru’.

“Zaman di mana semua kebitaraan (hanya satu-satunya) adalah pada Kerajaan Pusat telah berakhir,” tambah Khaled lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan