'PN tak usul tukar speaker dewan Rakyat, petanda tak ada majoriti'

M Fakhrull Halim

Aktivis politik, Abd Malek Hussin mempersoalkan mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mencabar jawatan Mohamad Ariff Md Yusoff sebagai speaker Dewan Rakyat, yang dipilih ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat (speaker), Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff kekal jawatan dan tidak dicabar?

“Jika nak ganti, perlu dinamakan calon sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat? Kerajaan PN tak namakan sesiapa menggantinya?

“Petanda awal PN tak bermajoriti di Parlimen,” katanya di Facebooknya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Abdul Malek berkata, PN tidak berani untuk membuat usul bagi menggantikan Mohamad Ariff kerana tidak yakin mempunyai majoriti jelas, sedangkan, waktu untuk nama calon speaker dikemukakan telah pun berlalu.

Menurut perkara 4 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, nama calon speaker hendaklah dicadangkan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum persidangan, iaitu selewat-lewatnya pada 4 Mei lalu.

Katanya lagi, speaker akan terus dapat memegang jawatannya sehingga Dewan Rakyat dibubarkan, melainkan dia meletakkan jawatan, atau dia dikenakan undi untuk melucutkan jawatannya.

“Kenapa dia (PN) tak mahu tukar speaker yang dipilih semasa PH mengambil alih kerajaan semasa PRU (pilihan raya umum) lalu?

“Setakat ini, undi melucut mestilah dibuat melalui usul. Dia (Mohamad Ariff) tak letak jawatan, dan tidak ada usul dari kerajaan untuk melucutkan dia,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya, menurut pandangannya, jika pun PN berasakan mereka mempunyai majoriti, ia pasti ramalan angka yang tipis yang masih menjadi kebimbangan buat mereka, lebih-lebih lagi majoriti mereka belum teruji di Parlimen sejak kerajaan ditubuhkan Mac lalu.

“Kalau dia yakinlah dia ada majoriti, saya berpendapat dia akan mengemukakan usul untuk melucutkan speaker, kemudiannya akan mencadangkan pengganti,” katanya yang pernah menjadi orang kuat Anwar Ibrahim dan Wan Azizah Wan Ismail ketika era reformasi dahulu.

Sebelum ini, dilaporkan PN mahu mencalonkan Anggota Parlimen Pengerang Azalina Othman Said untuk menggantikan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, menurut laporan tersebut yang memetik sumber, tiada cadangan untuk Mohamad Ariff buat masa ini.

Terdahulu, semalam dilaporkan beberapa permohonan usul dihantar kepada Mohamad Ariff.

Antaranya bagi memulakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, serta bagi memulakan undi percaya terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir - yang telah ditolak Mohamad Ariff semalam.

Hari ini pula, Mohamad Ariff menerima usul yang dibuat Dr Mahathir, bagi mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin, dibuat di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Kata Abdul Malek, sekiranya usul bagi menggantikan Mohamad Ariff dibuat oleh PN, maka ia akan menjadi agenda utama persidangan Dewan Rakyat 18 Mei nanti.

Tetapi, sekiranya PN gagal menang dalam pengundian tersebut, katanya, kedudukan PN sebagai kerajaan akan tergugat kerana rakyat akan dapat melihat bahawa gabungan itu tidak mempunyai majoriti yang jelas.

“Saya berpendapat, kerajaan Muyidin akan elak sedaya-upaya sebarang pengundian atas apa-apa urusan pun,” katanya, yang turut berasakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pun tidak akan berjaya diadakan pada sidang yang akan datang.

“Saya tak rasa begitu (undi tidak percaya diteruskan). Tentu kerajaan akan sabotaj usul itu dengan menangguhkan sidang,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan