Rakyat ‘terduduk’ banyak janji PN indah khabar dari rupa

ARIF ATAN
Banyak janji kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kononnya bagi membantu rakyat yang mengalami kesusahan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terlaksana seperti diharapkan.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, ramai ‘terduduk’ apabila permohonan mereka untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ditolak hanya kerana mempunyai pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Bila selesai PKP ini dapat dilihat janji-janji PN indah khabar dari rupa. Ramai yang terduduk. Antara rungutan mereka apabila permohonan BPN ditolak sebab daftar SSM.

“Ada pengundi di kawasan saya seorang peniaga tetapi tidak keluar menjual cendol (kerana PKP) apabila dijanjikan bahawa kerajaan akan membela rakyat.

“Inilah yang menimbulkan kesangsian rakyat terhadap janji-janji PN,” tegasnya dalam forum secara langsung menerusi Facebook Johorkini tengah hari tadi.

Beliau yang juga Ketua AMK berkata, masalah sama turut dihadapi pihak majikan berhubung peruntukan program subsidi gaji yang diumumkan pada 27 Mac lalu.

“Majikan-majikan yang memohon untuk pekerja, permohonan terhenti pertengahan jalan. Kerajaan jawab permohonan bantuan subsidi gaji terhenti sebab bajet habis.

“Bagaimana kamu urus kewangan negara?” soal Akmal.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kerajaan perlu duduk berbincang secara menyeluruh bersama pembangkang.

“PM umum itu, ini. Dari segi mana nak dapat dana? Sebab itu perlu ada persetujuan bersama. Ada perkara yang perlukan kita berbincang secara mendalam dan tuntas melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

“PH sedar hal ini bukan sahaja isu ekonomi tetapi nyawa rakyat untuk tempoh enam atau mungkin setahun akan datang,” tambahnya lagi dalam forum bertajuk “Persidangan DUN Johor: Kerajaan Perikatan Nasional bagai telur di hujung tanduk?” itu.

Panel yang turut serta dalam forum dimoderatorkan Koordinator Penyelidik REFSA, Fakhrurrazi Rashid itu adalah Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad yang juga ADUN Kota Iskandar dan ADUN Paloh, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali merangkap Ketua DAPSY Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan