Rohingya baham ‘kita’, kaum lain ‘gitu’ juga - Rais Yatim

FMT Reporters

Tangkap layar catatan Pengerusi PPBM Negeri Sembilan, Rais Yatim di Twitter tentang Rohingya dan kaum lain.
PETALING JAYA: Pengerusi PPBM Negeri Sembilan, Rais Yatim mendakwa “kita” dibaham komuniti Rohingya apabila bilangan mereka mencapai ratus ribu di negara ini, di sebalik serangan xenofobia terhadap golongan pelarian itu muktahir ini.

Mengulas artikel di yang dikongsi di Twitter tentang 3 lelaki Rohingya terlibat pecah rumah ditahan polis, bekas menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan itu semalam berkata “Rohingya ini masa bilangannya kecil memang lunak perangai – pijak semut pun tak mati…”

“…tapi bila jumlah mereka dah beratus ribu dibahamnya kita. Kaum lain yang datang ke mari zaman Inggeris 20-an ‘gitu’ juga akhirnya.

“Kita sama-samalah belajar dari sejarah yang takat ini banyak menyebelahi orang luar.”

Rais belum menjawab panggilan atau mesej wartawan FMT untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Komen xenofobia mensasarkan Rohingya meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, gelombang yang antaranya disebabkan berita palsu mendakwa mereka menuntut kerakyatan.

Ramai pemimpin agama dan aktivis hak asasi merayu semua pihak bertenang, hinggakan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hairan kenapa sekarang kedatangan pelarian Rohingya menjadi isu.

Di Twitter, catatan Rais itu mengundang reaksi negatif daripada warganet.

Seorang pengguna, @ibnzakuan tidak sangka Rais pernah jadi presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia “yang pelbagai kaum dan etnik”.

“Agak mengecewakan untuk seseorang yang pernah belajar tentang keadilan menghukum satu bangsa, padahal penjenayah itu boleh dilakukan oleh mana-mana bangsa atau warna kulit,” kata @khairullllll___ pula.

Dianggarkan kira-kira 200,000 pelarian Rohingya di Malaysia. Kerajaan menerima mereka atas dasar kemanusiaan, tetapi enggan mengiktiraf mereka sebagai pelarian, memaksa kebanyakan mereka bekerja secara haram dan mengemis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan