Terjerat akibat melampau mahu kuasa, masalah rakyat diketepi

AMNI JAGAT
AMANAH Johor menyelar kerajaan negeri pada masa ini yang dilihat tidak berkesudahan mencatur kuasa politik termasuk desakan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

Setiausahanya, Mohd Faizul Mohd Salleh berkata, kerajaan perlu menanggung risiko akibat perbuatan mereka yang melakukan kerosakan terhadap sistem demokrasi negara ini.

“Mereka (kerajaan) kena tanggung dengan apa yang telah dilakukan. Akibat keinginan yang melampau pada kuasa akhirnya kini mereka sendiri terjerat dengan apa yang mereka lakukan.

“Hasilnya, kestabilan politik tidak dapat dibina sehingga mereka lebih sibuk dengan agenda politik mereka dan membelakangkan masalah rakyat di negeri ini.

“PRN seperti yang dicadangkan ini adalah gambaran ketidakupayaan memimpin dari kerajaan Johor yang ada hari ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Sehubungan itu, Faizul menyifatkan bukan masa yang sesuai untuk diadakan PRN buat masa ini ekoran perbalahan antara Umno dan Bersatu yang tidak berkesudahan.

Menurutnya, langkah tersebut yang kononnya akan dapat menangani pertembungan Umno dan Bersatu itu tidak membantu menangani masalah sebenar rakyat pada masa ini.

“PRN pastinya akan menggamatkan keadaan sedangkan rakyat hari ini memerlukan kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah ekonomi mereka serta keharmonian yang selama ini terjalin.

“Dalam tempoh rakyat mulai tersepit akibat kekangan hidup, kita tidak harus membuat keputusan yang membelakangkan suara rakyat di negeri ini.

“Perkara ini mustahil, cara penyelesaian hanya mengukuhkan keadaan politik supaya stabil dan mampu menyelesaikan permasalahan rakyat,” kata Faizul.

Jelasnya, rakyat pada masa ini memerlukan kepimpinan kerajaan yang utuh bukan yang hanya sekadar bercakap tetapi tidak ditunaikan ketika mempunyai kuasa.

Fokus kerajaan negeri, tegasnya lagi, harus menumpukan kepada keadaan rakyat yang mulai tertekan seperti isu bil harga air, elaun khas penjawat awam, Bantuan Prihatin Negara (BPN) dan pelbagai lagi.

Di Johor, Bersatu yang mempunyai 11 kerusi Dun dikatakan mengasak Umno bagi mendapatkan lebih banyak jawatan lantikan politik termasuk untuk menerajui GLC negeri.

Ekoran itu, Umno yang mempunyai 14 daripada 56 kerusi pula dilihat mengugut dengan mengancam untuk mengadakan PRN.

Selain Bersatu dan Umno, DAP mempunyai 14 kerusi, AMANAH (9), PKR (4), MIC (2), Pas (1) dan Bebas (1). Pada masa ini, Perikatan Nasional memiliki 29 kerusi berbanding PH pula 27 kerusi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan