TUN M DAN ANWAR SUDAH ADA CUKUP NOMBOR UNTUK JATUHKAN MUHYIDDIN

Shahbudin Husin
Sebagaimana yang sedia dimaklumi, Muhyiddin Yassin hanya mempunyai sokongan sebanyak 113 daripada 222 Ahli Parlimen pada pembukaan Sidang Parlimen 18 Mei lalu.

Bermakna, kelebihan yang ada pada Muhyiddin hanya dua undi saja.

Ini adalah kedudukan majoriti paling kecil dan paling lekeh pernah dikecap oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Lebih daripada itu, kelebihan hanya dua majoriti itu pula diraih setelah Muhyiddin melambakkan jawatan menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC dan duta bertaraf menteri kepada Ahli-Ahli Parlimen blok penyokong kerajaan.

Jika diadakan undian pada hari tersebut, termasuk kemungkinan ada daripada pihak PN yang memberi sokongan dalam diam kepada pembangkang, adalah tidak mustahil Muhyiddin akan kecundang dibuatnya.

Tetapi, disebabkan Sidang Parlimen 18 Mei itu hanya terhad kepada titah perasmian Yang Dipertuan Agong semata-mata, maka terselamatlah Muhyiddin daripada dijatuhkan.

Dalam kenyataan kemudiannya susulan Sidang Parlimen yang pelik itu, Tun Mahathir Mohamad berkata, jika Muhyiddin terus mengelak-ngelak daripada membenarkan usul undi tidak percaya dibentangkan, pihak pembangkang akan sentiasa menguji kedudukan kerajaan dengan menolak kelulusan sebarang usul dan rang undang-undang yang mahu dibawa ke Parlimen.

“Pembangkang tidak akan berputus asa daripada berusaha untuk terus menumbangkan Muhyidrin,” tegas Tun Mahathir lagi.

Seterusnya, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pula berkata, hampir mustahil untuk kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin ini mampu bertahan sehingga PRU15 akan datang.

“Jika mereka yakin ada sokongan majoriti, mereka akan mengadakan Sidang Parlimen seperti lazimnya.

“Tetapi mereka tidak berbuat demikian dan ini membuktikan mereka sangat takut usul undi tidak percaya akan berjaya,” tambah Anwar lagi.

Kenapakah kedua-duanya, Tun Mahathir dan Anwar dilihat mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menjatuhkan Muhyiddin?

Keyakinan kedua-duanya itu tidak lain adalah disebabkan sokongan mencukupi untuk menjatuhkan Muhyiddin sebenarnya sudah pun diperolehi sekarang ini.

Selain blok pembangkang yang sudah ada 113 undi, beberapa undi lagi adalah diperolehi daripada blok kerajaan yang selama ini dilihat memberi sokongan kepada Muhyiddin.

Melalui kerjasama semula antara Tun Mahathir dengan Anwar dan PH, mereka sudah pun menggembleng kekuatan untuk memastikan kejayaan benar-benar dapat diperolehi.

Kebersamaan mereka ialah untuk memastikan kuasa dapat dikembalikan semula kepada PH sebagaimana mandat yang telah diberi rakyat pada PRU14 lalu.

Pengakuan sokongan mereka itu sudah sedia ada di tangan Tun Mahathir dan Anwar serta hanya menunggu masa, seawalnya dalam Sidang Parlimen 13 Julai nanti untuk ia dibuktikan.

Awas Muhyiddin, masa kejatuhan kerajaan tebuk atap ini akan tiba tidak lama lagi. (Shahbudindotcom 27/05/2020)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan